Penyerang Uruguay, Edinson Cavani (kanan) ketika aksi berdepan Portugal. FOTO AFP
Penyerang Uruguay, Edinson Cavani (kanan) ketika aksi berdepan Portugal. FOTO AFP
Reuters

Doha: Selepas aksi lima gol mendebarkan pada dua perlawanan pembukaan mereka di Piala Dunia, Ghana mungkin berharap untuk mara kelompok 16 terakhir dengan kurang drama apabila berdepan Uruguay pada Jumaat namun lawan mereka itu harus menang untuk mengelak daripada dimalukan dengan penyingkiran awal.

Keputusan seri bagi pasukan yang berada di ranking paling rendah di kejohanan itu mungkin memadai untuk Ghana menyertai Portugal pada peringkat kalah mati. Begitupun, dua lagi pasukan dalam Kumpulan H turut mempunyai peluang untuk layak berdasarkan mata.

Pasukan yang terluka, Uruguay harus menang di Al Wakrah untuk mara dan akan menggunakan sepenuhnya kekuatan himpunan penyerang nama besar mereka selain memperbaiki prestasi ketika seri tanpa jaringan berdepan Korea Selatan dan gagal mengatasi Portugal yang mempunyai kelas tersendiri.

Penyerang veteran Luis Suarez dan Edinson Cavani serta bakat baru, Darwin Nunez kesemuanya bergelut dalam perlawanan pembukaan mereka.

Jurulatih, Diego Alonso harus membuat pilihan sama ada berharap kepada mereka atau pilihan permulaan pasukan meletakkan Facundo Pellistri dan Maxi Gomez, yang sudah membuktikan beberapa detik menarik buat Uruguay.

Jika Ghana beraksi untuk seri mereka akan berserah sepenuhnya kepada keputusan bahawa Portugal yang sudahpun layak menewaskan Korea Selatan, pasukan yang cukup dikenali dengan semangat melawan, selepas membuktikan kebangkitan mereka daripada ketinggalan dua gol berdepan Ghana, sebelum tewas 3-2.

Bagi skuad Black Stars kemenangan boleh membalas dendam kekalahan peringkat suku akhir kepada Uruguay dalam Piala Dunia 2010, apabila Suarez menggunakan tangan untuk menghalang kemenangan pada masa tambahan buat Ghana sebelum tumpas dalam penentuan penalti.

Jurulatih Otto Addo berkata ia akan berada dalam fikirannya dan tahu skuad kendaliannya perlu berada pada prestasi terbaik untuk menghalang Uruguay, yang beraksi dalam Piala Dunia ke-14 mereka dan mara ke kelompok 16 terakhir dalam tiga penampilan terakhir mereka.

"Mereka mempunyai penyerang yang bagus, banyak pengalaman dan pasukan yang bagus. Setiap perlawanan akan menjadi terancam dan kami harus berada pada tahap terbaik kami untuk menewaskan mereka.

"Saya cukup yakin bahawa kami mampu memenangi perlawanan ini." katanya.

Uruguay tidak pernah tersingkir daripada peringkat kumpulan di Piala Dunia dalam tempoh 20 tahun dan jurulatih Alonso mengetahui sesuatu berbeza dan sesuatu istimewa diperlukan menentang Ghana, yang mara ke kelompok 16 terbaik dalam dua daripada tiga penampilan di Piala Dunia.

Alonso berkata dia menaruh harapan kepada pemain tetapi mereka perlu mengambil risiko berdepan pasukan yang mengetahui kekuatan Uruguay dan boleh menyekat impian mereka.

"Kami akan menggunakan semua senjata pada aksi penentuan kami. Kami harus memberikan yang terbaik. Pasukan harus tenang dan bermain." kata Alonso.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 9:58 PM