TAKTIKAL Hodak (kanan) dan ketua jurulatih Al Seeb, Rasheed Jabar (dua dari kiri) bakal jadi tumpuan, FOTO ASWADI ALIAS.
TAKTIKAL Hodak (kanan) dan ketua jurulatih Al Seeb, Rasheed Jabar (dua dari kiri) bakal jadi tumpuan, FOTO ASWADI ALIAS.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kekuatan pasukan ketika beraksi di final bukan hanya terletak pada barisan pemain semata-mata, namun taktikal diterapkan jurulatih turut menjadi antara 'azimat' penting untuk bergelar juara Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Perkara itu ditekankan bekas pemain Kuala Lumpur, Fandi Ahmad yang melihat pasukan Kuala Lumpur City (KL City) boleh 'makan' kelab dari Oman, Al Seeb di final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok, dengan syarat taktikal diterapkan pengendali pasukan Bojan Hodak serba menjadi.

Beliau yang juga legenda bola sepak Singapura berkata, walaupun Al Seeb mempunyai barisan pemain terbaik dengan kebanyakannya beraksi bersama skuad kebangsaan Oman, Hodak sudah tentu mempunyai perancangan rapi untuk memastikan KL City berjaya menjulang Piala AFC.

Katanya, ketika ini barisan pemain KL City dilihat semakin mantap dan mampu menyerap segala tekanan terutama selepas mengharungi perlawanan cukup mencabar untuk menempah slot ke final.

"Ada yang kata Al Seeb pasukan pilihan untuk menjuarai Piala AFC, namun mereka lupa KL City sebelum ini pernah menumbangkan banyak skuad gergasi untuk menuju ke pentas final.

"Kunci kejayaan terletak kepada keupayaan Hodak menyusun strategi memerangkap Al Seeb. Oleh itu, saya optimis KL City mampu meraih kemenangan pada malam esok," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, bekas tonggak Kuala Lumpur, Azman Adnan mahu KL City mencipta sensasi dengan menjadi kelab Malaysia kedua menjulang Piala AFC selepas Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Di final, segala-galanya boleh berlaku apabila pasukan yang dianggap 'underdog' melakukan kejutan menumpaskan skuad gergasi.

"KL City hanya tinggal selangkah untuk bergelar juara, sekali gus perlu manfaat peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri meraih kemenangan menentang kelab dari Oman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 7:30 PM