SAFEE Sali.
SAFEE Sali.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Alang-alang sudah sampai final, pastikan Piala Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) menjadi milik Kuala Lumpur (KL) City FC.

Itu harapan pemain berpengalaman KL City FC Safee Sali mahu rakan sepasukan tidak lagi 'menoleh kebelakang' dengan terus mengekalkan momentum kemenangan hingga mampu menjulang Piala AFC.

Safee berkata, KL City hanya selangkah untuk mencipta sejarah dalam bola sepak tanah air apabila menjadi pasukan kedua menjulang piala berprestij peringkat asia itu.

Katanya, walaupun KL City meraih kejayaan menerusi penentuan sepakan penalti namun itu juga sudah cukup membuktikan keupayaan skuad The City Boys di peringkat antarabangsa.

"Kita berjaya membuktikan mampu pergi jauh dan saya cukup bertuah berada bersama pasukan KL City. Barisan pemain berjaya mengamalkan corak permainan bertahan dengan mampu mengekalkan stamina dalam tempoh 120 minit tanpa dibolosi.

"Jelas sekali pengalaman KL City mengharungi perlawanan penentuan sepakan penalti membantu meraih kejayaan pada pertemuan menentang kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana," katanya.

Terdahulu, KL City terus mencipta sejarah di Piala AFC apabila mara ke final selepas menewaskan PFC Sogdiana 5-3 menerusi penentuan penalti pada aksi final antara zon di Stadium Kompleks Sukan Sogdiana.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak kini selangkah untuk menyamai rekod Johor Darul Ta'zim (JDT) memenangi Piala AFC pada 2015.

KL City akan berdepan kelab Oman, Al-Seeb yang turut mencipta sejarah muncul pasukan pertama dari negara itu mara ke final Piala AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 9:24 PM