PEMAIN KL City, Zhafri Yahya diasak PJ City, Mohammad Raffi. FOTO Asyraf Hamzah
PEMAIN KL City, Zhafri Yahya diasak PJ City, Mohammad Raffi. FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur (KL) City terpaksa menyimpan 'kuku' menyebabkan pasukan terbabit tewas 0-1 kepada PJ City pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Ini kerana ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak perlu melakukan persiapan rapi bagi mengharungi perlawanan akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 22 Oktober ini.

Beliau berkata, KL City tidak mempunyai barisan pemain yang ramai sekali gus terpaksa melakukan penggiliran pada perlawanan menentang PJ City bagi mengelak tonggak utama mengalami kecederaan.

Namun, pengendali dari Croatia itu bagaimanapun tetap berpuas hati apabila anak buahnya menyamai pencapaian sama dengan musim lalu apabila menamatkan Liga Super di kedudukan keenam.

"Pada pusingan kedua liga, prestasi kami menurun sebab kami fokus kepada Piala AFC dan kami tidak mempunyai skuad besar yang mana kami terpaksa melakukan penggiliran pemain yang boleh beraksi.

"Menduduki tangga keenam seperti musim lalu agak bagus sebab jika anda bandingkan bajet semua pasukan, kami salah satu pasukan dengan bajet rendah," katanya.

Terdahulu, KL City menerima tamparan hebat menjelang aksi final Piala AFC menentang kelab dari Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu depan.

Ia susulan kekalahan tipis 1-0 di tangan PJ City sekali gus skuad The Phoenix berjaya meraih tiga mata penuh pada kempen terakhir liga musim ini dengan mengumpul 26 mata, sementara KL City pula di kedudukan keenam dengan 29 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 10:01 PM