PEMAIN KL City FC gigih berlatih menjelang aksi final Antara Zon Piala AFC menentang PFC Sogdiana, malam esok. FOTO FB KL CITY
PEMAIN KL City FC gigih berlatih menjelang aksi final Antara Zon Piala AFC menentang PFC Sogdiana, malam esok. FOTO FB KL CITY
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak mahu barisan pemainnya melupakan segala 'kesengsaraan' dengan beraksi sepenuh hati pada pertemuan perebutan trofi antara zon Piala AFC menentang kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana, esok.

Menyedari anak buahnya perlu melalui cuaca sejuk dan tempoh penerbangan panjang, Hodak berkata, cabaran terbabit bukanlah halangan untuk pemain skuad The City Boys mencipta kejutan menumpaskan pasukan terbabit.

Beliau berkata, persediaan pasukan ketika ini berada dalam keadaan terbaik apabila semua 'ayam tambatan' KL City boleh diturunkan pada perlawanan penting itu.

"Setakat ini persediaan berada dalam keadaan baik dan tiada masalah walaupun mereka perlu mengharungi keadaan cuaca sejuk dan perjalanan jauh.

"Barisan pemain harus merasai kesakitan dan kesusahan itu jika mahu berjaya.

"Kami tidak berhadapan dengan masalah kecederaan dengan beberapa pemain tonggak seperti Zhafri Yahya berada dalam keadaan terbaik untuk memastikan KL City memperoleh keputusan positif," katanya.

Selain itu, Hodak berkata, dua pemain pasukan lawan iaitu Shokhruz Norkhonov dan Jasur Khasanov harus diberikan perhatian kerana mereka cukup berbisa apabila berada dalam kawasan kotak penalti lawan.

Menurutnya, barisan kejurulatihan sudah membuat analisis permainan ditampilkan PFC Sogdiana dan melihat ada dua atau tiga pemain cukup berbahaya terutama ketika mereka melancarkan serangan balas.

"Pemain berjersi nombor 10(Shokhruz) dan 11 (Jasur) memiliki ketangkasan selain mampu menghidu peluang untuk menjaringkan gol, sekali gus menjadi ancaman besar kepada KL City," katanya.

Mengikut rekod, KL City mencipta sejarah di pentas Piala AFC musim ini apabila berjaya mengesahkan tempat ke final Antara Zon.

Lebih manis, kejayaan itu tercipta di gelanggang lawan selepas pasukan terbabit menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 pada separuh akhir Antara Zon di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, bulan lalu.

Jika menewaskan PFC Sogdiana, KL City akan layak ke final Piala AFC untuk bertemu pemenang perlawanan antara kelab dari Oman, Al-Seeb atau pasukan Bahrain, Al-Riffa.

Kedua-dua pasukan dari negara Arab terbabit akan berentap pada malam ini bagi menentu siapa yang layak ke final Piala AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 2:44 PM