MINTAH (kanan) bersemangat menjalani latihan bersama skuad KL City. FOTO HAZREEN MOHAMAD
MINTAH (kanan) bersemangat menjalani latihan bersama skuad KL City. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang Kuala Lumpur City (KL City), Jordan Mintah memberi amaran kelibatnya akan menjadi mimpi ngeri buat pasukan Al Seeb pada aksi final Piala AFC 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Pemain berasal dari Ghana itu berkata, dia menyimpan hasrat untuk menjaringkan gol pada aksi final menentang kelab dari Oman Al Seeb, sekali gus menjadikan piala berprestij ittu milik KL City.

Katanya, KL City cukup istimewa terutama mampu mencipta kejutan dengan melangkah jauh sehingga ke final, sekali gus membuktikan pasukan terbabit berada pada prestasi terbaik ketika ini.

"Kelab ini cukup istimewa kerana barisan pemain yang cukup hebat dan hubungan dalam pasukan amat baik.

"Segalanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan berharap akan menjaringkan gol pada final kelak, sekali gus membantu pasukan meraih kejuaraan.

"Sekarang ini terpulang kepada jurulatih Bojan Hodak sama ada saya diturunkan atau sebaliknya. Jika nama saya disenaraikan sudah pastinya akan berikan terbaik,"katanya.

Mintah antara pemain yang dibawa masuk KL City pada musim ini menerusi pinjaman dari Terengganu FC (TFC) untuk menguatkan lagi jentera serangan skuad The City Boy.

Setakat ini, penyerang berusia 26 tahun itu sudah menjaringkan satu gol di pentas Piala AFC, sekali gus menyaksikan dia antara 'aset' yang akan digunakan Hodak untuk menggempur kubu Al Seeb.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 7:08 PM