HODAK (kiri) bersama kapten KL City, Paulo Josue (kanan) bergambar bersama Piala AFC. FOTO ASWADI ALIAS
HODAK (kiri) bersama kapten KL City, Paulo Josue (kanan) bergambar bersama Piala AFC. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelab Al Seeb bukan 'kaleng-kaleng' apabila dianggap sebagai Johor Darul Ta'zim (JDT) versi Oman dengan mempunyai sekurang-kurangnya 10 pemain skuad kebangsaan beraksi bersama pasukan terbabit.

Walaupun situasi terbabit dilihat memberi kelebihan kepada Al Seeb untuk menjulang Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022, namun pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak tidak mudah goyah kerana berpengalaman menumpaskan skuad seumpama itu di dalam saingan bola sepak domestik.

Ini kerana, jurulatih dari Croatia itu berpengalaman menumpaskan JDT di pentas final Piala Malaysia musim lalu walaupun rata-rata skuad Harimau Selatan itu dibarisi pemain kebangsaan.

Malam esok, Hodak bersama anak buahnya ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan situasi hampir sama, cuma pasukan saja berbeza, sekali gus akan menggunakan kepakarannya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada KL City.

"Saya boleh jawab tiada siapa peduli perlawanan berakhir dengan cara apa kerana perkara paling penting adalah kemenangan.

"Lima tahun akan datang, tiada siapa akan ingat siapa bermain di final, cuma mereka mengingati pasukan yang berjaya menjulang piala.

"Apa yang boleh saya katakan, pentas final adalah perlawanan cukup menarik apabila setiap individu cuba mengurangkan kesilapan untuk meraih keputusan positif," katanya dalam sidang media pra perlawanan final Piala AFC 2022 di SNBJ, hari ini.

Selain itu, Hodak berkata, terdapat beberapa pemain Al Seeb yang perlu diberikan perhatian dalam usaha mengekang kemaraan mereka.

"Sudah pastinya kita perlu mengawasi penyerang dan saya lihat ada dua atau tiga pemain mereka cukup berbahaya apabila melakukan serangan.

"Jika pemain berkenaan berjaya dikawal sudah pastinya kita mampu menguasai perlawanan untuk meraih keputusan positif,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 5:54 PM