HODAK tinggalkan KL City. FOTO AIZUDDIN SAAD
HODAK tinggalkan KL City. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Arena bola sepak negara dikejutkan keputusan pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC Bojan Hodak yang akan 'berpisah' dengan skuad The City Boys pada pertengahan saingan Liga Super musim ini.

Berita mengejutkan itu disampaikan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad yang menyatakan pengendali berasal dari Croatia itu mengambil keputusan berhijrah ke pasukan lain selepas bersama KL City selama tiga musim.

Khalid berkata, walaupun berat untuk KL City melepaskan jurulatih berpengalaman itu namun terpaksa akur apabila Hodak mahu menimba pengalaman dan mencari sesuatu yang baharu bersama pasukan lain di rantau Asia Tenggara ini.

"Selama tempoh tiga tahun ini, pencapaian teramat baik dalam sejarah KL City apabila bukan sekadar memenangi Piala Malaysia pada 2021 namun turut layak ke final Piala FA pada musim ini.

"Pada masa sama, di bawah kendalian Hodak kita melangkau ke peringkat Asia di mana sudah layak ke final Piala AFC.

"Hodak sudah menerapkan budaya kerja dan taktikal permainan profesional yang tinggi. Kita amat sedih untuk melepaskannya namun terpaksa akur kepada keputusan Hodak,"katanya, pada sidang media khas di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, sebentar tadi.

Mengikut rekod, Hodak terkenal dengan sentuhan magis apabila membawa KL City untuk mara ke final dalam kejohanan berbeza selama tiga musim.

Walaupun KL City mempunyai dana yang cukup terhad namun atas kepakaran Hodak mampu mencipta keputusan luar biasa termasuklah menjadi pasukan tunggal menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) sejak 2021.

Jurulatih itu juga hampir mencipta satu lagi sejarah hebat buat bola sepak Malaysia pada tahun lalu selepas kejayaan mereka mara ke pusingan akhir Piala AFC sebelum tewas kepada Al-Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pengendali itu akan bersama pasukan dari Indonesia, Persib Bandung yang turut mengesahkan kemasukan jurulatih itu menerusi laman rasminya.

Sementara itu, Khalid mengumumkan jawatan sebagai pengendali KL City akan diambil alih oleh bekas ketua jurulatih Penang FC, Nenad Bacina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 11:50 AM