PEMAIN  import  JDT, Fernando Forestieri tersungkur diasak pemain Penang FC. FOTO Mikail Ong
PEMAIN import JDT, Fernando Forestieri tersungkur diasak pemain Penang FC. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hasan bangga dengan corak permainan anak buahnya yang dilihat semakin baik biarpun tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Beliau melihat anak buahnya menunjukkan disiplin mantap dan menggesa mereka mengekalkan semangat juang tinggi serta tahap permainan berkualiti dalam semua perlawanan.

"Bagi saya jangan dengan JDT atau Terengganu FC sahaja mereka bermain begini. Meskipun sekali lagi, sedikit kecuaian memberi pasukan lawan mendapat gol kemenangan.

"Tetapi semangat mereka bermain ada banyak peningkatan. Inilah saya mahukan daripada pemain- supaya kekalkan secara berterusan dan perlu konsisten. Jika mereka dapat kekalkan momentum begini begini, Insya-Allah pasukan ini boleh pergi lebih jauh," katanya kepada pemberita.

Namun, beliau tidak menafikan jentera serangan Penang FC kurang menjadi dan beliau akan memperbaiki kelemahan itu bagi mempertajamkan serangan pasukan pada perlawanan akan datang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pengumuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung tiada penyingkiran pasukan Liga Super tahun ini Zainal Abidin menyifatkan perkembangan itu sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kepada Penang FC.

Berhubung langkah MFL membenarkan pasukan mendaftar sehingga sembilan pemain import beliau menganggap ia merupakan cabaran kepada pemain tempatan untuk berusaha keras demi mendapat tempat dalam pasukan.

Skuad Harimau Kumbang akan berangkat ke Pahang petang ini bagi meneruskan saingan Piala FA Malaysia pada suku akhir menentang Sri Pahang FC yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 4:11 PM