PEMAIN Penang FC, Mohammad Fairuz Zakaria diasak pemain PJ City, Mahalli Jasuli. FOTO Mikail Ong
PEMAIN Penang FC, Mohammad Fairuz Zakaria diasak pemain PJ City, Mahalli Jasuli. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kedudukan pemain import kelahiran Brazil, Anselmo Arruda da Silva atau dikenali sebagai Casagrande selaku senjata sulit Penang FC bukan lagi rahsia.

Berikutan itu, Ketua Jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan berhasrat mempelbagaikan gaya permainan anak buahnya agar pergerakan mereka tidak mudah dibaca pihak lawan.

Beliau berkata, menjadi keperluan mencongak gaya perlawanan akan datang dengan mengadunkan aspek perubahan taktikal dengan 'senjata' yang ada pada pasukan.

"Memang tidak dinafikan Casagrande merupakan senjata sulit Penang FC dan sebelum ini juga sama. Itu perkara yang baik namun perlu perubahan taktikal.

"Apabila dia dikeluarkan pada babak kedua perlawanan, pemain kembali terumbang-ambing seperti separuh masa pertama," katanya selepas aksi Liga Super menentang Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Bandaraya semalam yang berkesudahan seri 1-1.

Zainal Abidin berkata, secara keseluruhan beliau belum berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan permainan sebenar semalam menyaksikan dengan jelas pasukan itu belum sepenuhnya diperbaiki.

Beliau turut melihat pemain lambat menyesuaikan diri dan hanya mendapat rentak selepas 45 minit permainan dan kelemahan itu harus diatasi dalam tempoh terdekat menjelang pertemuan Terengganu FC Rabu ini.

"Bagi saya ada dalam kalangan mereka masih di takuk lama. Separuh masa pertama, mereka masih lagi tidak dapat bermain dengan cemerlang dengan tekanan yang mahukan tiga mata.

"Saya boleh kata, masa pertama mereka masih terumbang-ambing walaupun tidak banyak asakan daripada PJ City ketika itu. Tetapi saya harus puji separuh masa kedua, bukan pada tahap permainan tapi usaha mereka untuk mendapatkan gol penyamaan," katanya.

Mengulas mengenai status kecederaan Casagrande beliau berkata, pemain itu akan menjalani pemeriksaan lanjut hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 1:21 PM