Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari akui kemenangan menumpaskan Terengganu FC (TFC) bukan tugas mudah buat anak buahnya selepas tentangan sengit diberikan pemain lawan bermula sejak awal permainan lagi.

Malah jurulatih kelahiran Argentina itu tanpa berselindung akui skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mempunyai set piece yang bahaya sehingga mampu menggegarkan jaring gol pasukannya.

Namun jurulatih berusia 43 tahun itu yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Argentina Bawah 23 dan 20 Tahun itu puas selepas anak buahnya berjaya merakam kemenangan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini selepas 14 perlawanan Liga Super.

"Pemain kami mendapat tentangan sengit daripada pasukan lawan sejak awal permainan lagi, ianya perlawanan yang sangat sukar buat kami bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, tapi pemain kami tidak memberi terlalu banyak ruang kepada pemain lawan, lagipun kami mendominasi permainan.

"Namun selepas kami mendapat gol semangat menerusi sepakan menarik Fernando Forestieri dan diikuti sepakan penalti Bergson Da Silva beberapa saat sebelum berakhir babak pertama perlawanan, ia mengubah rentak permainan.

"Jaringan pertama yang begitu cantik menerusi sepakan gunting oleh Forestieri boleh dikatakan turning point buat pemain kami beraksi dengan lebih baik lagi, saya gembira kerana bertemu dengan lawan yang kuat dan kami bermain dan bertahan dengan baik.

"Namun set piece skuad TFC sangat bahaya sehingga mampu membolosi gawang kami," kata Solari ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak yang memihak kepada JDT dengan kemenangan 3-1 hasil jaringan Forestieri, Bergson dan Endrick Dos Santos manakala gol sagu hati skuad Penyu menerusi sepakan percuma Sony Norde.

SOLARI pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
SOLARI pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI

Mengulas insiden dua kad merah diperoleh pemain lawan sehingga memberikan kelebihan buat skuadnya untuk memburu kemenangan ke-14 pada musim ini dalam saingan Liga Super, Solari akui mana-mana pasukan pasti tidak akan berpuas hati apabila menerima kad merah.

"Ianya jelas kad merah dan bukan kelebihan yang diberikan oleh pengadil, mereka bermain dengan agresif, kad kedua sangat jelas, ia tidak bagus untuk pasukan jika menerima dapat kad merah, saya jangkakan mereka akan beri tekanan di padang dan juga para penyokong, jadi kami perlu bermain secara profesional," jelas Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 3:05 PM