Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Walaupun rekod tanpa tewas di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin musim ini lebur di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super malam tadi, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui beliau mendapat pengajaran berguna daripada perlawanan itu.

Jurulatih muda meningkat naik berusia 44 tahun itu berkata, beliau juga mendapat idea dan gambaran awal sebelum berdepan skuad kendalian Hector Bidoglio itu sekali lagi pada aksi final Piala FA yang bakal ditentukan tarikhnya oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Walaupun kita tewas, tapi perlawanan malam ini (malam tadi) memberikan banyak manfaat dan gambaran awal kepada kami sebelum menentang skuad itu pada aksi final Piala FA nanti.

"Kami juga dapat mengetahui kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki serta diperkemaskan lagi di setiap posisi dengan penekanan lebih terarah kepada jentera serangan.

"Namun pesanan saya kepada pemain, mereka perlu yakin dan lebih bersedia selain perlu meningkatkan lagi prestasi kerana bukan mudah menentang pendahulu Liga Super itu pada aksi final nanti," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan malam tadi.

PEMAIN TFC,  Hakimi Abdullah (kanan) diasak pertahanan JDT, Matthew Davies pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC,  Hakimi Abdullah (kanan) diasak pertahanan JDT, Matthew Davies pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI

Ketika ditanya adakah ketiadaan tiga tonggak, Mohd Faisal Halim, Manuel Ott dan Kipre Tchetche menjejaskan corak permainan pasukannya malam tadi, beliau akui ketiadaan mereka tidak begitu dirasai kerana pemain lain juga mampu memikul tugas dengan baik.

"Memang saya mahu senaraikan pemain terbaik pada setiap perlawanan, tapi dengan situasi perlawanan begitu padat dan ditambah dengan kecederaan pemain, ianya sesuatu yang di luar jangkaan.

"Ketiadaan tiga pemain itu (Faisal, Ott dan Tchetche) tidak begitu dirasai, tapi jika mereka ada mungkin keadaan itu boleh berubah, namun pemain lain pun ada kelebihannya yang tersendiri selain peluang buat mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing," katanya gembira dengan persembahan penyerang importnya, Kpah Sherman yang kembali bertenaga walaupun tidak menemui sentuhan jaringan.

Pada perlawanan yang berkesudahan 2-1 memihak kepada pelawat, skuad Harimau Selatan mendapat jaringan pertama menerusi Bergson Da Silva pada babak pertama sebelum Fernando Forestierie menambah jaringan pada babak kedua.

Gol sagu hati tuan rumah dijaringkan Mohamad Hakimi menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-50, namun skuad Penyu itu gagal menambah jaringan walaupun kerap mengasak kubu pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 11:39 AM