KETIADAAN Endrick dalam skuad Penang FC malam esok dianggap misteri oleh penyokong.
KETIADAAN Endrick dalam skuad Penang FC malam esok dianggap misteri oleh penyokong.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyokong Penang FC menerima tamparan hebat apabila ketua pasukan, Endrick dos Santos tidak akan beraksi menentang pendahulu Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bandaraya, malam esok.

Ketiadaan Endrick itu sememangnya mengejutkan ketika skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu memerlukan kemenangan bagi keluar daripada kedudukan tercorot Liga Super.

Lantas ketiadaan pemain tengah dari Brazil itu pastinya memberi sedikit masalah buat Penang untuk merangka serangan ke kubu lawan.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook Peneng FC, ketiadaan Endrick disahkan oleh kelab terbabit.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada arahan atau hukuman penggantungan pemain dilaksanakan oleh pihak pengurusan Penang FC. Beliau (Endrick) hanya diminta mengambil cuti rehat sehingga 31 Julai 2022. Sekian, terima kasih," kata kenyataan itu.

Tindakan pihak pengurusan yang secara tiba-tiba memberi cuti rehat kepada Endrick agak mengejutkan dan ia dianggap misteri.

Malah, jika diimbas setiap kali perlawanan bertemu JDT, Endrick dilihat sering digugurkan pada saat akhir apabila menentang skuad Harimau Selatan itu dengan pelbagai alasan termasuk kecederaan dan sebagainya.

Di ruangan komen Facebook kelab itu menyaksikan peminat mempertikaikan keputusan pengurusan pasukan yang mengenepikan pemain itu.

"Nak lawan pasukan kuat boleh pula bagi cuti. Dia bersalin ke?," tulis Stanly Albert.

"Mungkin ada alasan tersendiri kenapa dia diberi cuti, jurulatih serta 'management know better'. Saya percaya PFC (Penang FC) akan buat yang terbaik untuk bola sepak kita, sama-sama kita sokong," kata Letchmanan Maneim.

Selain ketiadaan aksi dengan JDT, Endrick juga tidak akan diturunkan menentang Sri Pahang pada 23 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 3:28 PM