PEMAIN KL City FC (jersi merah) cuba menghalang pemain Terengganu FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu lalu. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN KL City FC (jersi merah) cuba menghalang pemain Terengganu FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu lalu. FOTO GHAZALI KORI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehadiran Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam saingan Kumpulan H Piala AFC bukanlah sebagai pelengkap jadual semata-mata, sebaliknya mahu layak ke pusingan seterusnya.

Menyedari bakal diberi tentangan sengit oleh dua pasukan dari negara jiran iaitu PSM Makassar dan Tampines Rovers, skuad The City Boys yakin beraksi di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada pasukan mencipta keputusan positif kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata, skuad kendalian Bojan Hodak sudah pastinya akan turun dengan persediaan rapi dalam usaha meraih tiga mata pada pertemuan pertama menentang PSM Makassar, Jumaat ini.

Katanya, sasaran diletakkan untuk melangkah ke pusingan seterusnya dilihat mampu membakar semangat pemain untuk mencipta kemenangan pada dua perlawanan terbabit yang akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

"Tiada istilah pasukan pilihan atau ada kelebihan untuk menang, cuma jika pasukan berjaya beraksi dengan baik dan mengurangkan kesilapan, peluang untuk menang amat cerah.

"Malah, kempen itu menyaksikan setiap pasukan mengharungi dua perlawanan dan sudah tentu persaingan akan menjadi lebih sengit," katanya.

Sementara itu, berkaitan tonggak import baharu, Jordan Mintah yang dipancing dari Terengganu FC 11 menyaksikan kelibat pemain itu tidak dapat digunakan pada kempen peringkat kumpulan Piala AFC.

"Mungkin jika KL City berjaya melepasi peringkat kumpulan, penyokong dapat menyaksikan Mintah beraksi untuk pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 3:10 PM