TAVARES  (dua kiri) dan jurulatih KL City, Bojan Hodak  selepas sidang media aksi Piala AFC di Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO  FB Kuala Lumpur City.
TAVARES (dua kiri) dan jurulatih KL City, Bojan Hodak selepas sidang media aksi Piala AFC di Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO FB Kuala Lumpur City.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares melihat bukan masalah besar buat pasukannya mencipta keputusan positif apabila beraksi di depan ribuan penyokong Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi sulung Kumpulan H saingan Piala AFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.

Walaupun menyedari bakal berdepan tugas sukar menentang KL City, Tavares yakin anak buahnya mampu melakar kejutan dalam usaha mengungguli kumpulan itu.

Katanya, beliau melihat perlawanan KL City tewas 0-2 di tangan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu, namun tidak menganggap keputusan itu sebagai gambaran sebenar prestasi City Boys.

"Kuala Lumpur ada pemain import dan tempatan yang bagus, perlawanan terakhir saya lihat mereka tewas 0-2. Mereka kuat, tapi dalam perlawanan esok di atas padang adalah 11 lawan 11 pemain, kami akan cuba buat kejutan di sini.

"Bagi kami semua perlawanan adalah penting, jadi kami mengadakan aksi persahabatan sebelum ini dan esok cabaran besar bagi kami.

"Ia ujian besar kerana kami akan beraksi di gelanggang lawan, namun pemain tahu maksud pertandingan, kami akan bagi yang terbaik. Sudah pasti ia penting bagi kami untuk berada di sini dan berikan persembahan terbaik sebab kami bukan sahaja bermain untuk PSM Makassar, tapi juga untuk Indonesia," katanya.

Selain KL City dan PSM Makassar, Kumpulan H turut dihuni wakil Singapura, Tampines Rovers yang menyaksikan setiap pasukan hanya akan beraksi dua perlawanan.

PSM Makassar seterusnya akan berdepan Tampines Rovers, Isnin ini sebelum aksi terakhir kumpulan menemukan KL City dan Tampines Rovers pada 30 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 6:39 PM