ZHAFRI yakin skuad The City Boys akan bangkit dalam aksi kedua Kumpulan H Piala AFC. FOTO Ihsan KL City
ZHAFRI yakin skuad The City Boys akan bangkit dalam aksi kedua Kumpulan H Piala AFC. FOTO Ihsan KL City
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, Zhafri Yahya mengakui nasib tidak menyebelahi Kuala Lumpur City FC (KL City) yang terpaksa berkongsi satu mata dengan PSM Makassar malam tadi.

Jelas pemain tengah itu, keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini malam tadi seharusnya berakhir dengan kemenangan namun beberapa percubaan tuan rumah tidak menepati sasaran.

Namun katanya, dia yakin skuad The City Boys akan bangkit dalam aksi kedua Kumpulan H Piala AFC apabila menentang kelab dari Singapura, Tampines Rovers, Khamis depan.

"Saya merasakan kita betul-betul tidak bernasib baik meskipun bahagian serangan dan pertahanan berjaya mempamerkan aksi yang terbaik.

"Kita tidak akan mengalah, kita akan pastikan kemenangan milik pasukan pada perlawanan kedua menentang Tampines Rovers," katanya.

Zhafri, 27, yang pernah dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon sebelum ini akui masih tidak berpuas hati dengan prestasinya.

Walaupun sering mendatangkan masalah di kubu PSM Makassar, dia mahu memperkemaskan lagi aksinya sekali gus membantu KL City meraih mata dalam perlawanan berikutnya.

"Bagi saya tiada tekanan, saya perlu tunjukkan aksi yang konsisten dan saya belum berpuas hati dengan prestasi semasa saya.

"Saya akan perbaiki apa yang saya perlu perbaiki, saya sentiasa ingin perbetulkan sebarang kekurangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 3:31 PM