SAFEE mahu rakan sepasukan lebih waspada ancaman pemain import lawan. FOTO KL City FC
SAFEE mahu rakan sepasukan lebih waspada ancaman pemain import lawan. FOTO KL City FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang Kuala Lumpur (KL) City Safee Sali mengharapkan tuah 'hole in one' turut tempias kepada pasukannya dalam usaha meraih keputusan positif pada perlawanan pertama kumpulan H Piala AFC menentang PSM Makassar esok.

Safee yang juga bekas pemain kebangsaan sebelum ini membawa pulang Mazda CX-5 dan beberapa lagi hadiah lumayan selepas melakukan pukulan selubang atau 'hole-in-one' pada saingan Trofi Mazda 2022 di Glenmarie Golf & Country Club (GGCC), baru-baru ini.

Bukan setakat membawa pulang 'jentera baharu', malah penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Malaysia pada Piala AFF itu turut memenangi set iron Mizuno JPX921 serta kredit makan dan minum bernilai RM2,000 daripada GGCC selepas mengungguli kategori Medal B kejohanan itu.

"Mana tahu nasib yang ada sekarang ini dengan persembahan terbaik pasukan sekali gus harap berterusan tuah untuk Piala AFC dan perlawanan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Safee yang pernah beraksi bersama kelab berpangkalan di Indonesia iaitu Pelita Jaya mengingatkan rakan sepasukannya supaya berhati-hati dengan 'kelicikan' pemain negara jiran itu terutama membabitkan awang import mereka.

"Persiapan pasukan ketika ini berjalan lancar dan semua pemain bersiap sedia mengharungi Piala AFC. Seperti sedia maklum, perlawanan ini tidak seperti saingan Liga Super kerana sudah tentu berentisiti tinggi dan dibarisi pemain hebat.

"Pasukan dari Indonesia mempunyai pemain import yang bagus dengan rata-rata fizikal mereka juga tegap dan stamina yang kuat. Mungkin kita akan menghadapi kesukaran untuk menyekat kemaraan itu sekali gus barisan pemain KL City perlu sentiasa fokus pada perlawanan esok," katanya.

Mengikut rekod, KL City yang diundi dalam Kumpulan H akan beraksi dua perlawanan yang mana selepas PSM Makassar, skuad City Boys akan berdepan wakil Singapura, Tampines Rovers di gelanggang sama, 30 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 8:09 PM