PAULO Josue (kiri). -FOTO NSTP
PAULO Josue (kiri). -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kapten Kuala Lumpur City FC (KL City) Paulo Josue mahu menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah skuad The City Boys apabila mahu membantu pasukan meraih kejayaan apabila ketika bertemu ATK Mohun Bagan dalam perlawanan separuh akhir antara zon, Piala AFC 2022 di Kolkata malam esok.

Walaupun bakal beraksi di gelanggang lawan, bagi pemain berusia 33 tahun terbabit perkara itu bukan masalah besar memandangkan ketika ini barisan pemain KL City dilihat cukup bersemangat untuk merah meraih kejayaan selepas melangkah lebih jauh pada saingan Piala AFC itu.

Malah, Josue berkata, dia akan terus mencurah bakti bersama skuad The City Boys hingga akhir karier memandang kelab terbabit memberi pengajaran bermakna sepanjang bergelar pemain profesional.

"Saya sudah menjadi sebahagian daripada kelab dan melalui banyak perkara, melihat perubahan dalam corak permainan pasukan.

"Oleh itu, ia akan menjadi peluang yang baik untuk saya menjadi sebahagian daripada sejarah kelab dan menamatkan di sini (bersama KL City) adalah segala-galanya," katanya.

Mengikut rekod, pasukan bimbingan Bojan Hodak mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai saingan Zon Asean dengan menewaskan pasukan Indonesia, PSM Makassar, bulan lalu.

Sementara itu, Josue memasang impian mahu mengakhiri karier bersama KL City dan terus berkhidmat bersama pasukan terbabit dalam barisan kejurulatihan.

Pemain Brazil itu mahu mengikuti jejak bekas pemain kebangsaan Shukor Adan apabila bersara tahun lalu sebelum diserap sebagai sebahagian daripada barisan kejurulatihan pasukan.

"Kami mengadakan perbincangan mengenainya berharap saya kekal dan bersara dengan kelab kerana ia satu penghormatan besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 2:28 PM