WALES menentang Belanda dalam aksi Liga Negara-Negara. -FOTO AFP
WALES menentang Belanda dalam aksi Liga Negara-Negara. -FOTO AFP
AFP

Cardiff, United Kingdom: Wout Weghorst menamatkan pesta kegembiraan Piala Dunia Wales dan rekod 19 perlawanan tanpa kalah di tempat sendiri dengan penuh dramatik apabila Belanda menang 2-1 dalam pertembungan Liga Negara-Negara di Cardiff awal pagi tadi.

Wales akan ke Qatar November ini untuk membuat penampilan pertama mereka di Piala Dunia dalam tempoh 64 tahun selepas menewaskan Ukraine 1-0 dalam perlawanan akhir play-off Ahad lalu.

Namun pasukan Robert Page yang akan menentang Amerika Syarikat, Iran dan England di peringkat kumpulan di Qatar, tewas buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan A4 Liga Negara-Negara selepas kekalahan di Poland minggu lalu.

Pada perlawanan yang penuh mendebarkan itu Rhys Norrington-Davies menyamakan kedudukan untuk Wales pada masa kecederaan selepas Teun Koopmeiners menjaringkan gol pada babak awal separuh masa kedua.

Penyerang Burnley Weghorst mengesahkan kemenangan Belanda ketika perlawanan yang berbaki beberapa saat dan memusnahkan rekod tanpa kalah yang paling lama dalam sejarah Wales.

Buat pertama kali sejak November 2018, Wales dikalahkan di hadapan penonton mereka sendiri, tetapi keghairahan terhadap kelayakan Piala Dunia dijangka mampu memadamkan kekecewaan di saingan Liga Negara-Negara itu.

"Ia perlawanan yang sukar. Kami tidak mempunyai skuad terkuat kami. Mereka adalah pasukan kelas dunia dan kami berhak menguji kemampuan kami ke atas pasukan terbaik.

"Pemain yang dimasukkan bekerja keras untuk mendapatkan gol penyamaan, tetapi dibolosi lagi. Ia sesuatu yang memberi pengajaran," kata kapten Wales Gareth Bale.

Bagi Belanda pula, ia adalah kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan itu selepas membelasah Belgium Jumaat lalu.

Belanda, yang turut layak ke Piala Dunia, masih belum tewas dalam 11 perlawanan dan sejak Louis van Gaal membimbing pasukan buat kali ketiga pada Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 8:41 AM