AKSI Moore (kiri) menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Belgium.
AKSI Moore (kiri) menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Belgium.
AFP

Cardiff, United Kingdom: Wales menempah aksi separuh akhir playoff kelayakan Piala Dunia di tempat sendiri selepas jaringan penyamaan Kieffer Moore mengikat Belgium 1-1, awal pagi tadi.

Skuad Rob Page mengesahkan tiket playoff lebih awal susulan keputusan saingan Liga Negara-Negara tetapi dengan menduduki tempat kedua dalam Kumpulan E mengelakkan mereka daripada kunjungan ke tempat lawan yang lebih getir seperti bakal dialami Itali dan Portugal.

Kevin De Bruyne meletakkan Belgium di depan pada babak pertama tetapi penyerang Cardiff, Moore menyamakan kedudukan yang membolehkan Wales memiliki kelebihan ketika undian playoff pada 26 November.

"Tiada apa yang lebih membanggakan. Saya sangat emosi selepas tamat perlawanan. Mereka mempamerkan prestasi menakjubkan," kata Page.

"Saya tidak terkejut dengan reaksi positif selepas kami ketinggalan. Kami pernah melakukannya sebelum ini."

Dengan mengesahkan aksi separuh akhir playoff di tempat sendiri, Wales berdepan undian dengan lebih yakin dalam misi layak ke Piala Dunia.

Wales akan menerima kunjungan sama ada Austria, Macedonia Utara, Poland, Ukraine, Turki atau Republic Czech di separuh akhir dan mereka kini hanya dua kemenangan lagi untuk mara ke Piala Dunia buat kali kedua sejak kali pertama pada 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 8:25 AM