PEMAIN sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi (kiri) cuba menggelecek pemain Hong Kong pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO ASWADI ALIAS.
PEMAIN sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi (kiri) cuba menggelecek pemain Hong Kong pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO ASWADI ALIAS.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dilabel sebagai 'key player' dalam pasukan bukanlah tiket kepada tonggak Harimau Malaya, Arif Aiman Hanafi untuk mendongak ke langit menafikan sumbangan pemain lain dalam skuad kebangsaan.

Sebaliknya Arif Aiman melihat dia hanyalah pemain 'biasa-biasa' yang sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri untuk tampil lebih meyakinkan pada setiap perlawanan.

Walaupun aksi lincahnya menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, mendapat pujian ramai, Arif Aiman tetap tidak berpuas hati dengan prestasinya kerana mampu melakukan lebih baik lagi bagi membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan.

"Secara keseluruhannya masih tak berpuas hati dengan permainan saya. Oleh itu, banyak lagi kena perbaiki kerana mahu melakukan yang terbaik setiap kali beraksi bersama pasukan.

"Saya bukan 'key player' tapi saya seorang pemain biasa sahaja. Bagi saya semua pemain lain adalah 'key player' dalam pasukan dan bukannya saya seorang saja," katanya.

Terdahulu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu antara watak penting membantu skuad Harimau Malaya membenam Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 itu.

Dua gol pada minit ke-31 menerusi sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid dan sepakan percuma Safiq Rahim pada penghujung perlawanan memastikan Malaysia meraih kemenangan menentang pasukan yang berada di ranking ke-147 dunia itu.

Skuad Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 akan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Arif Aiman berkata, walaupun dilihat masih mentah pada perlawanan peringkat antarabangsa, namun pengalamannya bersama JDT membantunya kekal tenang sepanjang perlawanan malam tadi.

"Setiap kali diberi kepercayaan bermain, saya mahu berikan persembahan terbaik. Perlawanan malam ini adalah permulaan persediaan saya untuk mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia 2023.

"Saya tak berhadapan masalah beraksi di pentas antarabangsa kerana sebelum ini sudah mengharungi perlawanan di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama JDT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 2:35 PM