ARIF Aiman alami kecederaan dan perlu berehat.
ARIF Aiman alami kecederaan dan perlu berehat.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Teka teki pemain lincah negara Arif Aiman Mohd Hanapi sama ada beraksi menentang Hong Kong atau sebaliknya Selasa ini terjawab apabila dia disahkan tidak akan tersenarai.

Pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon menerusi kenyataannya memaklumkan Arif bersama pemain tengah, Endrick Dos Santos dilepaskan dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas mengalami kecederaan.

"Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa.

"Pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan serta keselamatan pemainnya dan bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini," katanya.

Sebelum ini, ketiadaan Arif Aiman menimbulkan tanda tanya selepas tiada dalam senarai pemain ketika menentang Turkmenistan selain kelibatnya tidak kelihatan dalam sesi latihan.

Selain itu, Pan-gon turut menjelaskan, tiada pemain baharu akan dipanggil mengisi kekosongan yang ditinggalkan kedua-dua pemain itu.

"Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 8:26 PM