SKUAD negara giat menjalani latihan. FOTO FAM
SKUAD negara giat menjalani latihan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Rekod cemerlang Harimau Malaya tanpa dibolosi pada dua perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong baru-baru ini membuktikan barisan pertahanan negara sudah semakin 'kebal' menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai 8 Jun ini.

Pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad berkata, rekod cemerlang itu harus dikekalkan dalam usaha pasukan kebangsaan meraih keputusan positif pada perlawanan terbabit.

Menyedari barisan pertahanan sering mendapat kritikan sebelum ini, Shahrul yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, barisan terakhir pasukan itu semakin baik hasil latihan intensif oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

"Sebagai pertahanan kita tak mahu gawang dibolosi dan perkara itu harus dikekalkan pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 kelak.

"Walaupun dilihat perlawanan persahabatan agak berbeza berbanding kejohanan sebenar, namun perkara itu bagus dalam usaha memantapkan lagi bahagian pertahanan.

"Rekod cemerlang itu bukanlah hasil daripada bahagian pertahanan semata-mata namun usaha seluruh pasukan yang berusaha menyekat kemaraan lawan," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya mencatat dua kemenangan apabila membenam Brunei 4-0 sebelum menundukkan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan persahabatan terbabit penting dalam rangka persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula 8 Jun ini.

Skuad Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan E akan mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 3:17 PM