PAN-GON tersenyum ketika menjawab soalan pada sidang media, hari ini, FOTO FB FAM
PAN-GON tersenyum ketika menjawab soalan pada sidang media, hari ini, FOTO FB FAM
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon tampak tenang dan realistik selepas kehilangan Arif Aiman Hanapi dan Endrick Dos Santos bagi pertembungan menentang Hong Kong pada perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali kelahiran Korean Selatan itu berkata, sepanjang 12 tahun selaku jurulatih kebangsaan bersama Hong Kong dan Harimau Malaya, memang sukar untuk menyenarai barisan pemain terbaik seperti apa yang diidamkan.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan ketiadaan dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak memberi kesan besar terhadap persiapan Harimau Malaya untuk berdepan skuad kendalian Joern Andersen yang pastinya akan turun habis-habisan bagi menebus kekecewaan tewas 0-2 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Jun lalu.

"Saya simpati dengan apa yang berlaku terhadap Arif (Aiman Hanapi) dan Endrick (Dos Santos) yang cedera dan mereka perlu dilepaskan bagi memastikan kecederaan dialami pulih secepat mungkin.

"Apapun, sepanjang 12 tahun pengalaman selaku jurulatih sama ada di Hong Kong mahupun di Malaysia jarang saya dapat mengumpul barisan pemain sempurna, tapi itulah lumrah dan saya menerima apa jua yang berlaku.

"Saya optimis dengan 25 pemain sedia ada kerana mereka boleh beraksi jika tersenarai dalam skuad utama, malah pemain ini membentuk satu pasukan kuat dan tidak terlalu bergantung kepada dua pemain sahaja," katanya pada sidang media, hari ini.

Pan-gon menegaskan barisan pemain sedia ada tidak berdepan masalah untuk mempratikkan pendekatan taktikal dirancang apabila berdepan anak didik Andersen yang bersemangat selepas seri 1-1 dengan Singapura, Khamis lalu.

Tambahnya, anak buahnya akan tampil lebih kuat kerana ia penting jika semua pemain mempunyai jiwa tinggi untuk mencapai kejayaan.

"Saya tidak pernah menyerah kalah dan tidak pernah diri ini tidak mampu buat, sebaliknya harus bersikap positif dan perlu mempercayai kepada setiap pemain.

"Kami berada dalam satu pasukan dan itu amat penting dan tidak sesekali bergantung kepada seorang atau dua pemain sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 2:37 PM