ARIF dan Dos Santos tak dapat bantu skuad negara.
ARIF dan Dos Santos tak dapat bantu skuad negara.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) memaklumkan tiada gunanya tonggak mereka Arif Aiman Mohd Hanapi dan Endrick Dos Santos terus kekal bersama skuad kebangsaan jika kedua-duanya tidak boleh beraksi kerana masalah kecederaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT Alistair Edwards dalam kenyataannya memaklumkan skuad Harimau Selatan dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa Arif Aiman dan Endrick mengalami kecederaan sekali gus tidak boleh beraksi untuk tempoh enam hingga tujuh hari.

"Arif pertama kali melaporkan kecederaan hamstringnya kepada doktor skuad kebangsaan sebelum perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan minggu lepas manakala Endrick dikeluarkan selepas separuh masa pertama akibat kecederaan buku lali.

"Doktor skuad kebangsaan mengesahkan pada Ahad (semalam) bahawa kedua-dua pemain ini tidak dapat diturunkan untuk perlawanan menentang Hong Kong.

"Oleh itu, JDT memohon untuk dua pemain ini dilepaskan kepada kelab memandangkan panggilan skuad kebangsaan tamat esok dan kami akan dapat memantau pemain ini dengan lebih baik dan merawat mereka untuk kembali ke tahap kecergasan penuh untuk tempoh yang lebih lama," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tiger.

Berikutan itu, JDT mengucapkan terima kasih kepada pasukan kebangsaan kerana bersetuju melepaskan kedua-dua pemain itu untuk meneruskan rawatan bersama kelab.

"JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kebangsaan kerana bersetuju ia adalah yang terbaik untuk Arif dan Endrick meneruskan rawatan mereka dengan kami lebih bersedia untuk perlawanan kelab dan skuad kebangsaan yang akan datang," katanya.

Terdahulu, pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon menerusi kenyataannya memaklumkan Arif bersama pemain tengah, Endrick Dos Santos dilepaskan dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas mengalami kecederaan.

Katanya, situasi terkini Arif Aiman dan Endrick sekali gus mengesahkan tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 5:36 PM