ARIF Aiman Hanapi. FOTO FAM
ARIF Aiman Hanapi. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah khidmat pemain lincah Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi kemungkinan tidak akan digunakan ketika berdepan Hong Kong 28 Mac ini?

Situasi terbabit menjadi persoalan apabila kelibat pemain pemain Paling Bernilai (MVP) 2022 dikatakan tidak muncul pada sesi latihan semalam sekali gus mungkin kelibatnya sekali lagi tidak digunakan pada perlawanan persahabatan kedua kelak.

Bintang sensasi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu cukup cemerlang membantu kelabnya apabila sudah menjaringkan tiga gol dan mencatat dua bantuan gol bersama pasukan sekali gus khidmatnya terus ditagih oleh Kim Pan-gon.

Namun, disebalik kemenangan1-0 menentang Turkmenistan tempoh hari, terdapat perkara menarik perhatian apabila kelibat Arif Aiman tiada di atas padang.

Sememangnya menimbulkan tanda tanya di kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila menganggap dengan kehadiran pemain berasal dari Rompin, Pahang itu akan menguatkan lagi jentera serangan skuad Harimau Malaya sekali gus lebih banyak gol dapat dicipta.

Ada yang berpendapat mungkin pemain itu adalah 'senjata' rahsia Pan-gon yang akan digunakan pada waktu terdesak bagi menyelamatkan skuad Harimau Malaya.

Setakat ini, masih tiada sebarang penjelasan atau pengumuman rasmi mengenai sebab pemain itu tidak turun berlatih.

Mengikut rekod, pada aksi terakhir menentang Hong-Kong sebelum ini, Malaysia mencatat kemenangan selesa 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid dan Safiq Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 2:03 PM