Ketua Jurulatih skuad bola sepak Harimau Malaya, Kim Pan-gon
Ketua Jurulatih skuad bola sepak Harimau Malaya, Kim Pan-gon
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Seramai 25 daripada 30 pemain melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Menurut pengendali negara, Kim Pan-gon, lima pemain lagi termasuk tiga tonggak iaitu Darren Lok, Safawi Rasid dan Khair Jones tidak dapat turun berlatih hari ini manakala dua lagi pemain yang berpangkalan di luar negara, Liridon Krasniqi dan Dion Cools pula hanya akan bersama pasukan di Singapura, minggu depan.

Difahamkan, Safawi terpaksa pulang ke Terengganu ekoran masalah kesihatan ayahnya, manakala Lok pula tidak sihat selain Khair Jones yang baru selesai menjalani tempoh kuarantin bersama pasukan Negeri Sembilan FC sebelum ini.

Jelas Pan-gon lagi, latihan hari pertama ini hanya memberi tumpuan memulihkan kecergasan pemain dengan latihan penuh akan bermula Rabu ini.

"Hari ini cukup sukar semua baru tiba dan fokus kepada pemulihan.

"Malam tadi ramai yang bermain (pusingan pertama Piala FA) selama 90 minit dan kita beri keutamaan kepada soal pemulihan.

"Esok pagi kita akan mula dengan taktikal dan latihan yang sebenar mungkin bermula Rabu ini," katanya pada sesi latihan bersama anak didiknya, hari ini.

Skuad negara kini dalam persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan kelas 1 menentang Filipina pada 23 Mac ini sebelum berdepan Singapura tiga hari kemudian dengan kesemua aksi berlangsung di Kota Singa.

Ia sebagai medan persediaan beraksi di Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini, di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 7:06 PM