DARREN (kiri) meledak gol pertama Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
DARREN (kiri) meledak gol pertama Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persiapan skuad Harimau Malaya menjelang sepak mula Piala AFF Rabu depan berada pada landasan tepat apabila berjaya melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam dua aksi pemanas badan dilalui.

Dalam aksi persahabatan menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi, skuad kendalian Kim Pan-gon meneruskan rentak cemerlang apabila menang 3-0.

Kejayaan itu setidak-tidaknya membakar motivasi pemain yang akan bersaing di Piala AFF di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.

Dalam aksi persahabatan kedua itu, Pan-gon mengekalkan lima tonggak utama daripada skuad yang menang 4-0 ke atas Kemboja Jumaat lalu, dengan Safawi Rasid diberi peranan sebagai ketua pasukan.

Tuan rumah tidak menunggu lama apabila Darren Lok hampir meledak gol di minit ke-10 namun percubaannya berjaya dihalang selepas menerima hantaran lintang Brendan Gan.

Begitupun pada minit ke-25 Lok yang juga penyerang baharu Sabah FC menebus kehampaan itu apabila menggegarkan gawang lawan selepas bijak mengambil kesempatan hasil kesilapan pertahanan Maldives yang gagal mengeluarkan bola di depan kotak penalti.

Malaysia yang menghuni tangga ke-146 dalam ranking Fifa dihadiahkan sepakan percuma pada minit 35 di depan kotak penalti namun sepakan Safawi sedikit tinggi.

Penguasaan sama ditunjukkan skuad negara pada babak kedua dengan Maldives yang berada di kedudukan 154 dunia lebih banyak bertahan.

Malah kemasukan Lee Tuck menggantikan Safawi nyata menambah sengat bahagian depan dan hasilnya Faisal Halim menyumbat gol kedua apabila dia melepasi perangkap ofsaid untuk memanfaatkan hantaran Lok di minit 64.

Tiga minit kemudian, Faisal hampir mencetak gol kedua peribadinya tetapi tandukan bekas pemain sayap Terengganu FC itu sedikit melewati palang gol.

Skuad negara yang mendapat sokongan padu 6,002 penyokong terus lonjak gembira apabila Tuck mencetak gol ketiga di minit 88, sekali gus mengekalkan rekod tiga kemenangan berturut-turut sejak tumbang 1-2 di tangan Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Asia Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 11:36 PM