DARREN (kiri) meraikan jaringannya. FOTO FB FAM
DARREN (kiri) meraikan jaringannya. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua penyerang gantian, Akhyar Rashid dan Darren Lok muncul penyelamat apabila kemasukan mereka berjaya mengikat Syria 2-2 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium East-Town Football Park, di Chengdu, China hari ini.

Malah kebangkitan di babak kedua itu turut menyelamatkan rekod bersih pasukan yang tidak pernah tewas sepanjang tahun ini apabila melakar empat kemenangan dalam empat aksi yang berlangsung di tempat sendiri hingga menyaksikan kedudukan ranking skuad kendalian Kim Pan-gon turut melonjak ke tangga 136 dunia.

Dalam aksi itu, Pan-gon kembali menyenaraikan ketua pasukan, Dion Cools dalam kesebelasan utama selepas tidak bersama pasukan pada aksi persahabatan Jun lalu yang menyaksikan Malaysia membenam Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea dengan 10-0.

Keampuhan benteng yang diharapkan menerusi gandingan Cools dan Shahrul Saad tampak tidak menjadi apabila seawal minit ke-12 anak buah Hector Cuper bijak menghukum kealpaan pertahanan negara hasil percubaan padu Mardik Mardikian yang bijak memusingkan badannya sebelum melepaskan sepakan yang gagal di halang Syihan Hazmi.

Skuad negara cuba bangkit menerusi beberapa percubaan namun kesemuanya hampa termasuk rembatan lemah Faisal Halim di minit ke-28 dan Endrick dos Santos di minit 38 tidak menemui sasaran.

Kealpaan sama berulang di minit 41 apabila Yassin Samia mengambil kesempatan di depan gawang negara menerusi tandukan tepat selepas menyambut sepakan sudut buat mengecewakan Syihan sekali lagi.

Memasuki babak kedua, Pan-gon membuat empat pertukaran dengan memasukkan Akhyar, Lok, Junior Eldstal dan Sharul Nazeem bagi memperkemaskan permainan sekali gus memburu gol.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Akhyar bijak meloloskan diri daripada pertahanan lawan untuk dia mudah menolak masuk menewaskan Ahmad Madanieh di minit 51.

Gol itu menyemarakkan semangat pemain dan pasukan negara hampir mengikat kedudukan lima minit kemudian namun tandukan Faisal sedikit tersasar selepas menyambut hantaran lintang Cools.

Darren juga berpeluang mencetak nama selaku penjaring tetapi tandukannya sedikit meninggi selepas penyerang Sabah FC itu menyambung hantaran Faisal di minit 59.

Berbaki 10 minit sebelum tamat, Safawi Rasid di bawa masuk oleh Pan-gon dan akhirnya gerakan yang dimulakan Safawi di minit 84 menyaksikan pasukan berjaya meraih gol penyamaan apabila sepakan Safawi ditepis Madanieh sebelum Lok mudah menolak masuk untuk mengecewakan lawan yang berada di ranking 94 dunia itu.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan bertemu China dalam aksi persahabatan antarabangsa kedua paad Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:10 PM