AKSI Safawi bersama Ratchaburi FC. FOTO Ratchaburi FC
AKSI Safawi bersama Ratchaburi FC. FOTO Ratchaburi FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penghijrahan pemain sensasi negara, Safawi Rasid ke Liga Thailand bersama Ratchaburi FC sejak Januari lalu menunjukkan banyak peningkatan termasuk kejayaannya menurunkan berat badannya.

Perkara itu diakui pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang sempat membuat lawatan dam tinjauan terhadap dua pemain kebangsaan yang beraksi di Liga Thailand baru-baru ini.

Jelas Pan-gon, beliau nyata gembira melihat perkembangan positif Safawi yang semakin hampir menemui sentuhan berbisanya, malah pemain sayap itu juga kerap menjadi pilihan membarisi skuad utama Ratchaburi FC.

Namun disebalik prestasi baik Safawi, Pan-gon akui perkara paling memuaskan hatinya adalah bagaimana ketua pasukan kebangsaan itu berjaya menurunkan berat badannya.

"Saya gembira dapat berjumpa Safawi di mana dia sudah lama tidak beraksi penuh 90 minit…gembira melihat dia dapat mengurangkan berat badannya dan ia signal yang baik di mana mampu beraksi selama 90 minit.

"Pada saya suasana bola sepak di sana (Liga Thailand) banyak membantu meningkatkan permainan dia, dibantu dengan fasiliti terbaik yang ada di sana, sama seperti di Johor (Johor Darul Ta'zim).

"Malah tempo permainan di sana cukup pantas…menggunakan fizikal yang kuat, dan saya fikir suasana di sana cukup baik buatnya untuk dapat semula rentak permainan," kata Pan-gon yang berasal dari Korea Selatan itu.

Ujarnya lagi, bagaimanapun terdapat satu kesukaran buat Safawi iaitu untuk mendapatkan makanan halal di sana.

"Dia menunjukkan kepada saya kegembiraannya di sana, tetapi mungkin berdepan sedikit masalah dari segi mendapatkan makanan halal.

"Mungkin ada sesiapa yang boleh bantunya di sana nanti…yang lainnya nampak jelas dia gembira, dan harap prestasinya dikekalkan dalam latihan (skuad Harimau Malaya) nanti," katanya.

Dalam pada masa sama, Pan-gon turut berkongsi berpuas hati dengan prestasi Dion Cools bersama Buriram United, sementara hajat untuk melihat aksi Junior Eldstal dengan kelab PT Prachuap tidak kesampaian apabila pemain itu masih dibelenggu kecederaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 4:53 PM