CONTE (kiri) harap Kane segera sembuh untuk digunakan bagi perlawanan menentang Burnley. FOTO Reuters
CONTE (kiri) harap Kane segera sembuh untuk digunakan bagi perlawanan menentang Burnley. FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengharapkan Harry Kane segera sembuh daripada kecederaan belakang menjelang pertemuan dengan Burnley pagi esok selepas aksi memberangsangkan penyerang itu membantu mereka menumpaskan Manchester City.

Dua gol daripada Kane, termasuk jaringan kemenangan pada masa kecederaan, membuatkan perlumbaan kejuaraan liga kembali terbuka luas selepas Tottenham menumpaskan City 3-2 di Stadium Etihad.

Tottenham, yang berada di tangga kelapan selepas mengumpul 39 mata daripada 23 perlawanan, bakal berdepan Burnley dalam aksi yang ditangguhkan sebelum ini akibat salji tebal di Turf Moor November lalu.

"Harry mengalami kecederaan belakang namun dia perlu beraksi. Walaupun dengan menggunakan sebelah kaki, dia harus bermain.

"Dia sangat bagus. Harry tahu dia sangat penting buat pasukan," kata Conte.

Conte berkata, Tottenham sudah banyak berubah dalam pelbagai cara dan pemain baru,

Rodrigo Bentancur dan Dejan Kulusevski meningkatkan pilihan penggiliran skuadnya

"Skuad sekarang lebih lengkap berbanding sebelum ini dengan kehadiran Kulusevski dan Bentancur.

"Saya juga mempunyai kemungkinan, jika semua pemain tersedia, untuk membuat beberapa penggiliran bagi memberi sedikit rehat yang diperlukan pemain, terutama di bahagian tengah.

"Pemain tengah menentang Manchester City, Pierre (Hojbjerg) dan Rodrigo, mereka mempamerkan persembahan yang hebat, mereka banyak berlari dan usahanya adalah terbaik.

"Kami perlu melihat sama ada mereka pulih dengan baik jika tidak, saya perlu membuat penggiliran kerana kami mempunyai banyak perlawanan berturut-turut dalam beberapa hari dan kami perlu mencuba setiap saat untuk mencari penyelesaian terbaik," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 2:21 PM