KANE (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
KANE (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Reuters

London: Harry Kane hampir kembali kepada prestasi sebenar apabila meledak dua gol ketika membantu Tottenham Hotspur melangkah ke pusingan kelima Piala FA selepas menewaskan Brighton & Hove Albion 3-1, hari ini.

Kapten England itu menjaringkan gol pertama yang menarik pada minit ke-13 dan menambah gol kedua minit ke-66.

Gol kedua Tottenham pada minit ke-24 hadir menerusi gerakan Emerson Royal dari sebelah kanan sebelum menjaringkan gol dari sudut sukar, namun jaringan itu terkena Solly March untuk gol sendiri.

Brighton bangkit di babak kedua untuk merapatkan jurang menerusi Yves Bissouma tetapi Kane memastikan kemenangan hasil gerakan Son Heung-min yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.

Tottenham yang tewas kepada Chelsea pada separuh akhir Piala Liga, memberi peluang kepada pemain baharu ditandatangani, Rodrigo Bentancur dan Dejan Kulusevski masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan.

Kane mengambil masa agak lama untuk mendapatkan kembali prestasi sebenar selepas penghijrahan ke Manchester City pada musim panas lalu gagal untuk direalisasikan.

Bagaimanapun sejak ketibaan Antonio Conte, November tahun lalu, penyerang prolifik itu dilihat kembali berbisa.

"Kami bermain dengan sangat baik. Kami bermula dengan baik tetapi hilang sedikit rentak di babak kedua, namun kami mengawal permainan selepas gol ketiga.

"Saya gembira dapat menjaringkan gol. Ia gerakan baik oleh Sonny (untuk gol kedua). Dia amat pantas dan mencipta banyak peluang, saya gembira dapat menyudahkannya," kata Kane yang menjaringkan 21 gol untuk kelab dan negaranya sepanjang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 9:06 AM