CONTE kecewa selepas tewas kepada Southampton. -FOTO Reuters
CONTE kecewa selepas tewas kepada Southampton. -FOTO Reuters
Reuters

London: Tottenham Hotspur perlu mencari jalan untuk menguruskan permainan mereka selepas melepaskan dua gol lewat perlawanan saingan Liga Perdana sekali gus menyaksikan kekalahan kepada Southampton awal minggu ini tegas Antonio Conte.

Spurs mendahului Southampton dua kali namun terpaksa mengakui kelemahan di barisan pertahanan apabila tunduk 3-2 di laman sendiri dan kini menyaksikan mereka berkedudukan tempat ketujuh dengan 36 mata selepas 21 perlawanan.

"Selepas perlawanan terdapat beberapa fasa berbeza. Anda perlu pengalaman untuk menguruskan, memahami apa yang perlu ketika mengambil risiko dan apa yang perlu dilakukan untuk mengekalkan keputusan dengan cara terbaik," kata Conte menjelang perlawanan Wolverhampton Wanderers, Ahad ini.

Pemain tengah Eric Dier dan Oliver Skipp dan juga pemain pertahanan Japhet Tanganga terpaksa diketepikan kerana kecederaan namun Spurs boleh menurunkan pemain baru Dejan Kulusevski dan Rodrigo Bentancur berdepan Wolves.

Conte berkata, beliau sedar akan risiko menurunkan Son Heung-min di bahagian serangan dan bek tengah Cristian Romero buat kali ketiga dalam tempoh seminggu selepas mereka kembali daripada kecederaan namun mengakui bahawa beliau tidak mempunyai pilihan memandang kekurangan pemain.

"Kami memerlukan mereka. Mereka adalah pemain penting untuk kami terutama di bahagian pertahanan. Dier ketika ini tidak dapat diturunkan dan Romero perlu beraksi," katanya.

Kemenangan mampu melonjakkan Wolves yang kini berkedudukan tempat kelapan memintas Spurs dalam senarai kedudukan namun skuad London itu masih mempunyai baki perlawanan dalam tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 9:58 AM