Luqman Hakim Shamsudin (kiri) ketika menjalani sesi latihan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO FAM
Luqman Hakim Shamsudin (kiri) ketika menjalani sesi latihan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya terpaksa menolak permohonan pasukan kebangsaan India yang berhasrat untuk mengadakan aksi persahabatan tier 1 pada jendela aksi antarabangsa antara bulan September, Oktober atau November ini.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, pihaknya ada menerima beberapa permohonan pasukan yang mahu menguji skuad negara pada jendela perlawanan antarabangsa itu.

Antaranya adalah pasukan India yang kini menduduki ranking ke-105 dunia, namun permintaan itu kemungkinan terpaksa ditolak memandangkan kes Covid-19 di negara itu cukup tinggi.

Malah, varian Covid-19 juga dilihat lebih 'ganas' di India apabila merekodkan varian jenis Delta atau virus B.1.617 yang menular lebih pantas daripada varian yang lain.

"Ada beberapa negara mahu mengadakan aksi persahabatan dan salah satu daripadanya India. Tapi mungkin kita tak dapat langsungkannya kerana kes di negara terbabit tinggi selain varian Covid-19 yang bahaya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelas pengurus pasukan kebangsaan itu lagi, bagaimanapun pihaknya tetap merancang untuk mengadakan aksi persahabatan dalam tiga jendela antarabangsa itu.

Katanya, ia sebagai persiapan pasukan menjelang Piala AFF serta memperbaiki kedudukan ranking sebelum undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia hujung tahun ini.

Begitupun, segala perancangan itu belum dimuktamadkan lagi memandangkan pasukan terpaksa berdepan dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti kuarantin 14 hari selepas pulang sekiranya mengadakan perlawanan di luar negara.

"Kita mahu mengadakan aksi persahabatan tetapi semuanya bergantung kepada pihak pengurusan nanti.

"Mungkin mudah untuk kita ke luar negara tapi apabila balik kita kena kuarantin selama 14 hari, di mana ia mungkin mengganggu saingan liga (Liga Malaysia) pula nanti.

"Kalau pasukan luar pula yang nak main di sini (Malaysia), mereka kena kuarantin juga, jadi itu semua bukan mudah. Tapi kita tetap akan mengadakan latihan pusat dan kem latihan dalam waktu itu (jendela aksi antarabangsa).

"Kita akan cari jalan terbaik dan solusi untuk selesaikannya dan harap ada perlawanan persahabatan untuk menguji pasukan," katanya.

Untuk rekod, aksi persahabatan pada tiga jendela Fifa itu cukup penting di mana ia boleh mengubah kedudukan ranking pasukan menjelang undian kelayakan Piala Asia nanti.

Berdasarkan kedudukan ranking, skuad kebangsaan ketika ini berada pada tangga ke-153 dunia dan dijangka mengisi balang 3 menjelang undian itu sekali gus kemungkinan berdepan laluan sukar jika tidak memperbaiki mata ranking.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 3:33 PM