KIM Pan-gon. FOTO NSTP
KIM Pan-gon. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekalahan di tangan skuad Harimau Malaya tampaknya sukar diterima dua pasukan iaitu Turkmenistan dan Hong Kong apabila kedua-duanya disahkan sebagai pasukan yang akan menentang Malaysia pada jendela aksi antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, di Johor Bahru hujung Mac ini.

Menurut pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon, dua aksi terbabit dilihat sebagai medan terbaik buat anak buahnya menguji kemampuan apatah lagi kedudukan ranking Turkmenistan dan Hong Kong juga tinggi.

Malah ujarnya, kedua-dua lawan itu adalah pilihan terbaik memandangkan pasukan perlu mengekalkan kedudukan jika mahu elak daripada bermain pada pusingan playoff kelayakan Piala Dunia 2026 nanti.

"Buat masa ini kita berada di ranking ke-25 negara terbaik Asia manakala Hong Kong pula di tempat ke-26. Jika kita mahu elak daripada aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2026, kita perlu kekalkan kedudukan itu.

"Justeru, kami sudah mengatur dua aksi persahabatan pada bulan depan menentang Turkmenistan yang sememangnya teruja untuk kembali ke Malaysia bagi menebus kekalahan pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 tahun lalu.

"Kekuatan Hong Kong pula agak seimbang dan kali ini difahamkan mereka bersedia untuk menurunkan pasukan terbaik untuk menentang Harimau Malaya nanti.

"Malah, Hong Kong difahamkan akan memanggil pemain-pemain yang beraksi di Liga China kali ini selepas tidak di bawa ketika tewas kepada Malaysia tahun lalu.

"Jadi saya jangkaan saingan sengit akan diraih dan pemain akan dapat sesuatu pengalaman terbaik daripada aksi itu nanti " katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-145 sebelum ini pernah menewaskan Turkmenistan (ranking 135 dunia) 3-1 dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Hong Kong (ranking 146 dunia) juga pernah menjadi 'mangsa' kekalahan apabila skuad negara mudah merakam kemenangan 2-0 pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Bukit Jalil.

Mengulas lanjut, pengendali import dari Korea Selatan ini turut merencanakan strategi untuk bertemu satu negara hebat dan satu negara bertaraf sederhana pada aksi persahabatan Jun depan.

"Saya percaya ini adalah strategi yang bagus kerana jika kita menang satu perlawanan dan tewas satu lagi aksi pun, ia masih dianggap bagus untuk mengekalkan ranking semasa.

"Apa yang kita lakukan pada kalendar Mac akan diteruskan pada Jun depan. Cuma, pada September nanti kita akan cuba bermain di luar negara manakala Oktober pula kita akan anjurkan Pestabola Merdeka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 2:34 PM