PENGENDALI skuad B-23 negara, Brad Maloney. FOTO Arkib NSTP
PENGENDALI skuad B-23 negara, Brad Maloney. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasukan Korea Utara sekali lagi mendatangkan masalah apabila menarik diri daripada pusingan Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 23 tahun (B-23) yang menyaksikan undian semula zon timur akan dilakukan AFC pada 11 Ogos ini.

Skuad negara diletakkan dalam kumpulan mudah bersama dua lagi pasukan Asean iaitu Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J kemungkinan bakal berdepan lawan lebih kuat seperti Australia, Jepun mahupun Korea Selatan pada undian semula itu nanti.

Pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney berkata, beliau terkilan dengan undian semula itu, namun tetap positif menanti keputusannya yang bakal menentukan hala tuju pasukan negara dalam kelayakan itu nanti.

"Agak mengejutkan apabila Korea Utara menarik diri dan ia akan beri kesan kepada semua kumpulan di zon timur ini dari Kumpulan G hingga J.

"Ia secara tidak langsung akan mengubah dinamik dan peluang semua pasukan di setiap kumpulan selepas undian semula itu nanti.

"Proses undian itu di luar kawalan kita dan terima siapa jua lawan bakal ditempuhi nanti. Apa yang penting kita harus bersedia dengan perancangan dan persiapan sendiri menjelang kelayakan itu nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, pada April lalu, Korea Utara turut menarik diri daripada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang menyebabkan semua aksi membabitkan pasukan tercorot dalam setiap kumpulan tidak dikira mata.

Situasi itu memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya terutama ke atas dua kemenangan dengan Indonesia.

Terdahulu, skuad B-23 negara diletakkan dalam Kumpulan J dan akan beraksi di Mongolia yang dipilih sebagai tuan rumah untuk kelayakan itu pada Oktober ini dengan pusingan akhir AFC B-23 akan diadakan di Uzbekistan pada tahun depan.

Maloney berkata, latihan pusat pertama pasukan akan dilangsungkan pada jendela aksi antarabangsa bermula 30 Ogos hingga 7 September ini dengan fokus utama memanggil pemain B-20 yang beraksi dalam Liga Malaysia.

"Saya akan memanggil pemain dalam negara sahaja pada kem pertama itu nanti. Disebabkan proses kuarantin panjang, tidak praktikal sekiranya kita memanggil pemain yang berpengkalan di luar negara.

"Lagipun kem latihan itu hanya memakan masa seminggu lebih sahaja, jadi tak sesuai untuk memanggil pemain luar. Mereka akan dikumpulkan pada kem kedua hujung September nanti, seterusnya bermain di kelayakan itu," kata Maloney yang berasal dari Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 5:07 PM