HAMIDIN sasar ranking 120 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini. FOTO OWEE AH CHUN
HAMIDIN sasar ranking 120 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya hanya perlu memanjat 17 anak tangga lagi sebelum mampu mencapai sasaran berada pada posisi ke-120 terbaik dunia dalam ranking Fifa menjelang hujung tahun ini.

Ia antara sasaran yang dimahukan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini apabila akui kedudukan itu hanya akan berjaya dicapai sekiranya perancangan terbaik dapat dilakukan dan kejayaan memihak kepada pasukan negara.

Ujar Hamidin, impian untuk ranking skuad Harimau Malaya melonjak memang menjadi keinginan badan induk itu dan mereka perlu bekerja keras untuk terus memperbaiki ranking skuad kendalian Kim Pan-gon.

"Namun, ia berdasarkan kejayaan pasukan dan taktikal yang kita nak buat untuk berdepan pasukan yang kita nak main. Peluang itu ada untuk mara (naik ranking) dan (kelayakan) Piala Asia pada November menyediakan mata paling banyak.

"Jadi, kalau proses ini berjalan sampai November dan kejayaan banyak memihak kepada pasukan Malaysia, kita mungkin naik ke 120 lebih sedikit," katanya sebelum ini.

Ranking skuad Harimau Malaya terus menunjukkan peningkatan apabila naik satu anak tangga di posisi ke-137 dalam kemas kini terbaharu ranking Fifa semalam.

Peningkatan itu didorong oleh dua kemenangan besar ke atas Kepulauan Solomon (4-1) dan Papua New Guinea (10-0) dalam aksi persahabatan Tier 1 pada minggu lalu, sekali gus ranking pasukan negara naik daripada kedudukan 138 dunia sebelum ini.

Melalui semakan Arena Metro di laman sesawang Fifa menyaksikan skuad kendalian Pan-gon itu berjaya mengumpul 1091.57 mata keseluruhan, selepas mengutip 9.44 mata tambahan daripada dua kemenangan itu.

Ia adalah kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun sejak berada di posisi ke-127 pada Mei 2006.

Ranking negara dijangka terus meningkat naik jika mampu mencatat keputusan positif dalam dua jendela aksi antarabangsa pada September dan Oktober ini, selain pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan bermula pada November nanti.

Selepas ini, Malaysia dijadual menghadapi dua aksi persahabatan September ini dengan pasukan China sudah disahkan sebagai lawan, manakala satu lagi pasukan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Pada bulan Oktober pula, pasukan negara akan menyertai Pestabola Merdeka di halaman sendiri dengan tiga pasukan sudah mengesahkan penyertaan iaitu Palestin, Lubnan dan India.

Untuk rekod, kesemua lawan yang bakal ditemui selepas ini berada pada ranking lebih tinggi daripada skuad Harimau Malaya, dan jika mampu mencatat keputusan positif, sudah tentu ranking Malaysia akan terus meningkat naik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 2:34 PM