KIM Pan-gon. FOTO GHAZALI KORI
KIM Pan-gon. FOTO GHAZALI KORI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon akui tidak banyak perubahan yang akan dilakukan dalam senarai pemain menjelang kem latihan pusat bagi menghadapi tugasan antarabangsa termasuk pada jendela aksi Tier 1, pada September ini.

Jelas Pan-gon, sememangnya beliau sentiasa memantau perkembangan setiap pemain tempatan, malah menyenaraikan beberapa nama baharu.

Namun beliau tidak boleh membuat sebarang perubahan secara drastik kerana ia akan memberi kesan kepada persembahan pasukan.

"Kita sudah memperkenal banyak pemain dan kesemua mereka berada dalam senarai kita, jadi kita tunggu dan lihat bagaimana nanti.

"Saya memang suka memperkenalkan pemain-pemain baru, tapi sebelum kejohanan penting, kita tidak boleh buat banyak perubahan," katanya selepas menghadiri majlis undian Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Rumah AFC, di sini semalam.

Pada majlis undian itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang antara Taiwan atau Timor Leste, dengan aksi kelayakan akan bermula November ini.

Selain itu, skuad negara juga dalam persiapan menghadapi Piala Asia di Qatar pada Januari depan.

Untuk rekod, anak buah Pan-gon akan menghadapi dua aksi persahabatan di luar negara pada September ini, serta menyertai Pestabola Merdeka pada Oktober babitkan saingan empat penjuru antaranya Palestin, Lubnan, India dan Malaysia selaku tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 3:37 PM