Selain saingan Piala AFF skuad negara turut akan mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 Februari tahun depan. FOTO NSTP
Selain saingan Piala AFF skuad negara turut akan mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 Februari tahun depan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jadual skuad Harimau Malaya tampaknya cukup sibuk dan tiada istilah rehat sehingga hujung tahun ini buat pemain negara.

Ia selepas barisan kejurulatihan negara mahu memanfaatkan sebaik-baiknya ketiga-tiga jendela aksi persahabatan antarabangsa pada September, Oktober dan November ini dengan mengadakan aksi persahabatan buat pasukan.

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe berkata, beliau tiga jendela itu akan digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki segala kelemahan yang berjaya dihidu ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu.

"Kalau boleh kami dan pengurusan dah berbincang dan memang kita nak mengadakan perlawanan atau aksi persahabatan diadakan dalam ketiga-tiga itu (jendela aksi Fifa).

"Lagipun ketika itu Liga Super berhenti rehat jadi kita boleh gunakan masa itu untuk mengadakan latihan dan perlawanan," katanya kepada Arena Metro.

Berdasarkan kalendar Fifa untuk aksi antarabangsa, terdapat tiga jendela yang bakal ditempuh skuad negara iaitu bermula 30 Ogos-7 September, 4-12 Oktober dan yang terakhir pada 8-16 November depan.

Selepas itu, memasuki bulan Disember pula, skuad kendalian Cheng Hoe akan menyertai kempen Piala AFF yang dijadual berlangsung selama sebulan selepas ia ditangguhkan sebanyak dua kali iaitu tahun lalu dan April lalu ekoran pandemik Covid-19.

Cheng Hoe yang membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018 lalu menambah, tiga jendela itu juga akan menyaksikan beberapa muka baharu dipanggil bagi memberi peluang mempamerkan keupayaan masing-masing.

"Disamping itu, kita juga nak uji pemain-pemain yang baharu dan melihat potensi mereka pada latihan dan dalam aksi persahabatan nanti," katanya.

Selain saingan Piala AFF hujung tahun ini, skuad negara turut meletakkan sasaran penting pada Februari tahun depan di mana akan mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 dengan misi layak secara merit ke pusingan akhir di China itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 9:14 PM