PEMAIN Terengganu FC dan Terengganu FC II melapor diri di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, hari ini. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN Terengganu FC dan Terengganu FC II melapor diri di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, hari ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) bakal berdepan dengan hukuman jika melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Turut berdepan dengan hukuman sama ialah barisan pegawai terlibat bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19 yang kian meningkat.

Peringatan tegas tapi penuh bermakna itu disuarakan Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas dalam kenyataannya pada hari ini.

Beliau berkata, pemain dan pegawai yang melanggar SOP dan arahan yang ditetapkan pihak pengurusan boleh dikenakan tindakan termasuk denda jika sabit dengan kesalahan.

"Kita tidak mahu berkompromi dalam hal ini, mereka yang didapati bersalah dengan ingkar arahan yang ditetapkan, bakal berdepan dengan hukuman kerana kita tidak mahu sebarang masalah timbul terutama berkaitan dengan wabak pandemik Covid-19.

"Pemain perlu mengisi borang akujanji dan mereka diingatkan perlu sentiasa mematuhi peraturan bagi mengelak sebarang kejadian buruk daripada berlaku.

"Mereka juga tidak dibenarkan keluar daripada kem latihan kecuali kecemasan dan dimaklumkan kepada pihak pengurusan, kita sudah sediakan jadual lengkap dan akan dikemaskini bergantung kepada situasi semasa," katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

Terdahulu pada hari ini, dua pasukan bersaudara itu menjadi pasukan pertama memperolehi kebenaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melakukan latihan secara 'camp based training' bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 3.0.

Pasukan bersaudara itu akan mula 'berkampung' di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus bermula hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum berlatih dalam suasana gelembung sukan.

Semalam semua pemain TFC termasuk pegawai sudah menerima suntikan vaksin pertama di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak manakala vaksin kedua pada 13 Jun depan, bagi pasukan 'adik' pula, mereka akan menerima suntikan vaksin pertama selewat-lewatnya pada minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 7:18 PM