UBAIDULLAH turut dipanggil skuad B-23.
UBAIDULLAH turut dipanggil skuad B-23.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemilihan tiga pemain muda Terengganu FC (TFC) dalam kem latihan skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) membuktikan pemain pasukan Pantai Timur itu sentiasa mendapat tempat dalam skuad negara.

Terdahulu tiga pemain iaitu Muhammad Faris Rifqi Abdul Rashid, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dipanggil ketua jurulatih B-23, Juan Torres Garrido bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Ahad ini.

Selain itu dua lagi pemain muda berbakat iaitu Muslihuddin Atiq Mat Zaid dan pertahanan Terengganu FC II (TFC II), M Rakesh berada dalam senarai pemain bersedia dipanggil pada bila-bila masa.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, kejayaan tiga pemain muda itu menambat hati Garrido membuktikan skuad Penyu mempunyai ramai pemain berbakat.

Jelasnya, pujian harus diberikan kepada barisan kejurulatihan bermula di peringkat sekolah rendah lagi yang berjaya menggilap bakat pemain berkenaan sehingga berjaya mewakili skuad kebangsaan.

Tambahnya, pencapaian itu sudah pasti bakal memberikan impak positif bukan sahaja kepada pemain itu sendiri malah juga dalam pasukan TFC dan TFC II.

"Kami bagi pihak TFC begitu berbangga dengan dengan pencapaian pemain berkenaan yang mendapat tempat dalam skuad kebangsaan kerana ianya bukan sesuatu yang mudah.

"Pendedahan di peringkat tertinggi itu sudah pasti akan menambah lagi pengalaman kepada mereka untuk lebih berdaya saing dalam skuad kebangsaan dan juga pasukan TFC.

"Kita mengharapkan pemain terpilih itu mampu menunjukkan kualiti yang ada padanya dalam membantu skuad kebangsaan mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Pada masa sama latihan sebagai persiapan menjelang Piala Asia B-23 di Qatar bermula 15 April hingga 4 Mei 2024 juga boleh dianggap aksi pemanas badan sebelum bermulanya Liga Malaysia (Liga M) pada 10 Mei depan," kata Mohd Syahrizan ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini lima pemain TFC sudahpun menjalani latihan bersama skuad senior kebangsaan bagi menghadapi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 iaitu penjaga gol, Suhaimi Husin, Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 5:22 PM