PEMAIN Terengganu FC akur aksi pertama Liga Super bertemu Sri Pahang FC pada malam ini ditunda kerana Covid-19. FOTO TFC
PEMAIN Terengganu FC akur aksi pertama Liga Super bertemu Sri Pahang FC pada malam ini ditunda kerana Covid-19. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kem Terengganu FC (TFC) akur dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menunda pertemuan 'derby' Pantai Timur menentang Sri Pahang FC pada aksi pertama Liga Super yang dijadualkan berlangsung pada malam ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab menjelaskan walaupun pemainnya melahirkan sedikit kekecewaan kerana tidak dapat beraksi, namun mereka juga reda dengan ketentuan Ilahi.

"Pemain kami sedikit kecewa kerana tidak dapat beraksi selepas mereka sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk turun ke padang dalam pertemuan pertama itu.

"Namun kami tidak sesekali menyalahkan kem Sri Pahang FC berikutan penundaan ini kerana jangkitan pandemik Covid-19 berlaku di luar jangkaan dan apa-apa boleh berlaku.

"Malah kem TFC juga turut bersimpati dengan ujian yang melanda skuad Tok Gajah itu yang saya percaya mereka juga turut mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Namun apa boleh buat sudah ketentuan, apa yang lebih penting perlu mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pemain dan pegawai, justeru marilah kita doakan agar pemain dan pegawai pasukan jiran itu serta semua pemain pasukan lain selamat dan kembali pulih sepenuhnya untuk mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini," katanya yang turut akui beberapa pemain TFC juga turut tidak terlepas dijangkiti pandemik itu.

Semalam MFL memutuskan pertemuan Sri Pahang FC dengan TFC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada malam ini ditunda pada tarikh lain berikutan 11 pemain dan 11 pegawai skuad Tok Gajah didapati positif Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohd Fadhil yang baharu mengambil alih jawatan pengurus bermula musim ini mahu memanfaatkan tempoh itu dengan memperkemaskan lagi pasukan.

"Tempoh ini kita akan memanfaatkan sepenuhnya dengan sesi latihan sebagai persediaan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) minggu depan," katanya.

TFC yang dibimbing Nafuzi Zain bakal melayani kunjungan NSFC pada Rabu depan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak sebelum sekali lagi menentang pasukan sama juga di gelanggang sama pada aksi pusingan pertama Piala FA pada 13 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 5:43 PM