PEMAIN Terengganu FC memperagakan jersi terbaharu skuad itu musim ini. FOTO Malik Muhamad
PEMAIN Terengganu FC memperagakan jersi terbaharu skuad itu musim ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kombinasi warna keramat, hitam putih terus menjadi pilihan jersi pasukan bersaudara Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan bermula 4 Mac depan.

Selain itu warna 'turquoise' turut menjadi pilihan jersi skuad dari Pantai Timur itu musim ini yang menggunakan jenama Umbro.

Majlis pelancaran jersi yang diadakan gilang-gemilang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh.

Wan Sukairi berkata, kombinasi warna jersi berkenaan adalah berkonsepkan tradisional iaitu kegiatan penduduk Terengganu pada zaman dahulu yang sebahagiannya bekerja sebagai petani dan nelayan.

"Gabungan warna keramat, hitam putih itu sudah sinonim dengan Terengganu dan tambahan warna turquoise itu bagi menyuntik lagi semangat pemain ketika beraksi.

"Jersi berharga RM119 itu akan berada di pasaran tidak lama lagi, saya berharap peminat setia bersabar walaupun Liga Malaysia (Liga M) bakal membuka tirainya pada 4 Mac depan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Penaja, Pemain dan Jersi TFC, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, TFC menyasarkan sekurang-kurangnya untuk menjulang satu trofi daripada tiga kejuaraan yang dipertandingkan musim ini termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia selepas gagal melakukannya musim lalu.

Beliau berkata, sasaran itu dilihat realistik terutama dengan barisan pemain yang lebih baik termasuk kehadiran enam tonggak import yang baharu.

"Kami meletakkan keyakinan dengan percaturan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, pasukan lebih mantap mampu dijelmakan untuk memburu sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

"Selain itu komitmen tinggi dipamerkan pemain bakal menjadi senjata utama pasukan untuk mencabar kejuaraan bagi merealisasikan impian seluruh peminat setia.

"Musim lalu, TFC hanya menamatkan saingan liga di kedudukan keempat sebelum tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di separuh akhir Piala Malaysia, jadi sudah tentu kali ini saingan liga dan Piala FA yang menawarkan slot ke Piala AFC 2023 akan menjadi keutamaan pasukan," katanya yang turut mengharapkan sokongan padu daripada peminat setiap kali pasukan beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 8:44 PM