DATUK Mohammed Suffian Awang. -FOTO NSTP
DATUK Mohammed Suffian Awang. -FOTO NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) memohon maaf kepada Terengganu FC (TFC) susulan penundaan perlawanan yang dijadualkan malam ini, selepas skuad Sri Pahang disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, lebih-lebih lagi, TFC sudah tiba di Kuantan ketika keputusan yang diterima Sri Pahang pada 12 tengah hari, semalam.

"Kami mohon maaf kepada pasukan TFC yang sebenarnya mereka sudah pun sampai di Kuantan ketika keputusan PCR hanya diperolehi pada 12 tengah hari (semalam).

"Ia menyebabkan pasukan TFC terpaksa berpatah balik ke Kuala Terengganu," katanya.

Mohammed Suffian berkata, hasil PRC semalam, sebahagian besar pemain dan pegawai didapati positif wabak terbabit.

Katanya, semua pemain dan pegawai juga sudah mengambil suntikan dos penggalak seperti yang ditetapkan prosedur operasi standard (SOP).

"Saya harap semua pemain dan pegawai yang positif akan sembuh segera dan kembali menjalani latihan," katanya.

Disebabkan positif Covid-19, skuad Tok Gajah terpaksa menunda tiga perlawanan iaitu berdepan TFC, Selangor FC pada 8 Mac ini dan Manjung City (12 Mac).

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 1:17 PM