Phil Foden meledak dua gol ketika England menewaskan Iceland dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA. FOTO AFP
Phil Foden meledak dua gol ketika England menewaskan Iceland dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA. FOTO AFP
AFP

London: Phil Foden berterima kasih kepada Gareth Southgate kerana menaruh keyakinan kepadanya selepas pemain tengah England itu mencatat "antara detik paling sukar dalam hidupnya" sebelum meledak dua gol ketika membantu England menewaskan Iceland, 4-0, pagi ini.

Foden dihantar pulang bersama pemain Manchester United, Mason Greenwood dengan memalukan oleh Southgate selepas mereka melanggar peraturan protokol Covid-19 kerana menyeludup masuk wanita ke dalam bilik hotel pasukan ketika kunjungan England ke Iceland pada September lalu.

Pemain berusia 20 tahun itu, melakukan penampilan pertama buat England sejak insiden itu dan memanfaatkan peluang untuk kembali menjadi pemain pilihan skuad kendalian Southgate.

Ketika England mendahului 2-0 dalam saingan Liga Negara-Negara, perancang tengah Manchester City itu mempamerkan penyudahan baik pada minit ke-80 dan meledak sekali lagi hasil rembatan jarak jauh lima minit kemudian.

"Ia adalah salah satu daripada detik sukar dalam kehidupan saya.

"Itu adalah masanya anda memerlukan kepercayaan daripada pengurus dan saya sangat mengagumi Gareth, kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk beraksi malam ini," kata Foden.

"Saya sangat gembira untuk membalas kepercayaannya dengan menjaringkan gol dan beraksi baik. Saya sentiasa mahu beraksi dalam pasukan kembali dan melakukan terbaik yang saya mampu.

"Saya sedikit gementar pada permulaan tetapi saya sudah terbiasa dengannya."

Pemain tengah England, Declan Rice turut meledak gol pertama antarabangsanya di Wembley diikuti jaringan Mason Mount.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 7:36 AM