SANCHO ketika sesi latihan. FOTO AFP
SANCHO ketika sesi latihan. FOTO AFP
AFP

London: Penyerang England, Jadon Sancho berjanji akan memanfaatkan peluang jika diberi kepercayaan untuk diturunkan apabila bertemu Jerman pada pusingan kedua Euro 2020 tengah malam esok.

Dilabel sebagai antara pemain muda paling menyerlah di Eropah, Sancho dijangka akan berhijrah dari Borussia Dortmund ke Manchester United sebelum bermulanya musim baru liga.

Bagaimanapun Sancho masih belum dapat meyakinkan pengurus England, Gareth Southgate untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pada saingan Euro kali ini.

Pemain berusia 21 tahun itu hanya beraksi selama enam minit setakat ini ketika masuk sebagai pemain gantian pada perlawanan terakhir England bertemu Republik Czech dalam Kumpulan D.

Sancho berada di ranking belakang Phil Foden, Raheem Sterling, Jack Grealish dan Marcus Rashford dalam pemilihan penyerang oleh Southgate.

Meskipun England belum tewas, mereka tampak tumpul di jentera serangan.

Hanya Sterling meledak dua gol England setakat ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keputusan Southgate meletakkan Sancho di bangku simpanan.

"Sudah pasti sangat istimewa apabila dapat beraksi. Ia sesuatu yang tidak akan dapat saya lupakan," kata Sancho.

"Saya harap dapat lebih lama beraksi pada perlawanan seterusnya. Saya akan buktikan kepada semua kemampuan diri saya."

"Saya mengenali ramai pemain di Jerman. Saya beraksi dengan mereka pada setiap minggu.

"Pasti menarik melihat mereka beraksi bersama skuad kebangsaan. Jika diturunkan, saya harap dapat membantu England," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 9:24 AM