FODEN (kiri) dan Greenwood terlepas empat aksi antarabangsa bersama skuad England. FOTO Agensi
FODEN (kiri) dan Greenwood terlepas empat aksi antarabangsa bersama skuad England. FOTO Agensi
AFP

BINTANG England yang disingkirkan, Phil Foden dan Mason Greenwood terlepas empat aksi antarabangsa selepas dihantar pulang angkara kesalahan memalukan.

Pemain Manchester City dan Man United itu tiba di UK semalam selepas disingkirkan daripada skuad Gareth Southgate menentang Denmark dalam aksi Liga Negara-Negara, awal pagi esok.

Foden, 20, meminta maaf di atas kesalahan itu yang menyalahi peraturan Covid-19 selepas kedua-duanya membawa pulang wanita ke bilik hotel pasukan malam minggu lalu di Iceland.

Mereka yang tampil kali pertama bersama skuad Three Lions ketika menang 1-0 di Reykjavik 24 jam sebelum itu, didenda £1,360 (RM7,448) oleh polis tempatan.

FA England juga sudah menjalankan siasatan dan meminta maaf kepada ketua bola sepak Iceland.

Foden dan Greenwood, 18, dihantar pulang ke kelab masing-masing dengan kedua-dua kelab terbabit berang dengan tindakan pemain mereka.

Greenwood dalam kenyataannya hari ini meminta maaf dan berkata dia mendapat pengajaran daripada insiden itu yang menyaksikan dia terlepas aksi menentang Denmark bersama Foden.

"Adalah tidak bertanggungjawab apabila saya gagal mematuhi protokol Covid-19 yang sepatutnya untuk melindungi pemain, staf dan masyarakat.

"Saya juga minta maaf kepada Gareth Southgate, saya mengecewakannya ketika dia menunjukkan kepercayaan penuh kepada saya.''

"Beraksi bersama England salah satu detik membanggakan dalam hidup saya dan saya menyalahkan diri sendiri di atas kesilapan besar ini.

"Saya berjanji dengan keluarga, penyokong, Manchester United dan England bahawa saya akan belajar daripada kesilapan ini."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 8:12 PM