FODEN senang bekerjasama dengan Southgate. FOTO AFP
FODEN senang bekerjasama dengan Southgate. FOTO AFP
AFP

London: Phil Foden berterima kasih kepada pengurus England, Gareth Southgate kerana memberinya peluang kedua selepas dihantar pulang ketika kem antarabangsanya September lalu di atas perbuatan memalukan.

Bintang Manchester City baru saja melakukan penampilan sulung menentang Iceland sebelum didapati melanggar peraturan Covid-19 bersama penyerang Manchester United, Mason Greenwood kerana membawa wanita ke hotel mereka di Reykjavík.

Foden diketepikan Southgate sebelum dipanggil semula pada November dengan dia menjaringkan dua gol pertama antarabangsa menentang Iceland.

"Saya melakukan kesilapan besar. Saya masih muda. Gareth memberitahu saya jika saya terus bermain dengan baik, saya mempunyai peluang sekali lagi.

"Jadi saya perlu bekerja keras untuk itu. Tidak semua pengurus akan memberikan peluang kedua, jadi saya harus berterima kasih kepada Gareth kerana memberi peluang kepada saya," kata Foden.

Ketika di kelab, pemain berusia 21 tahun itu berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan utama dengan meledak 16 gol dan 10 hantaran menghasilkan jaringan, sekali gus membolehkan City muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala Liga serta mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Bagaimanapun, Foden mengakui bahawa cara Southgate lebih menjaga hubungan peribadi berbanding Guardiola.

"Saya rasa mereka berdua sangat berbeza. Mereka mempunyai cara tersendiri. Gareth sangat hebat, dia bercakap dengan semua orang, memberitahu apa yang dia rasakan mengenai anda dan bagaimana untuk mempertingkatkan prestasi

"Saya pernah beberapa kali bersembang dengannya. Beliau senang untuk diajak berbincang, dengan sentiasa meletakkan tangan di bahu pemain, di mana saya rasa ia sangat penting," kata Foden.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 10:11 AM