PENYERANG England, Raheem Sterling (kanan) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang final Euro 2020 menentang Itali, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG England, Raheem Sterling (kanan) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang final Euro 2020 menentang Itali, hari ini. FOTO AFP
Agensi

London: England akan kembali menggunakan lima pemain pertahanan apabila menentang Itali di final Euro 2020, hari ini, yang bermakna tiada tempat buat Bukayo Saka dalam kesebelasan utama, lapor SunSport.

Gareth Southgate dipercayai sudah memiliki pemain pasukannya untuk menghadapi perlawanan terbesar untuk negara itu dalam tempoh 55 tahun.

Saka adalah satu-satunya pemain diketepikan daripada skuad di separuh akhir dan tempatnya digantikan Kieran Trippier.

Barisan pemain menyaksikan Kyle Walker, Harry Maguire dan John Stones membentuk tiga bek tengah manakala Trippier di sebelah kanan pertahanan dan Luke Shaw di kiri.

Jordan Pickford kekal di depan pintu gol.

Dua pemain tengah bertahan, Declan Rice dan Kalvin Phillips akan mengawal bahagian tengah.

Kapten, Harry Kane mengetuai jentera serangan dengan dibantu Raheem Sterling dan Mason Mount.

Taktikal kesebelasan utama itu dibentuk untuk menghadapi Itali yang menggunakan dua pemain pertahanannya untuk menyusup dari sayap.

Ini bukan kali pertama Southgate menggunakan formasi itu yang membuahkan hasil lumayan apabila menewaskan Jerman 2-0 di pusingan kedua.

Pemain tunggal yang dijangka tersisih sepenuhnya pada aksi final adalah Phil Foden selepas pemain tengah itu cedera kaki ketika latihan.

Selain itu, pemain kegemaran penyokong England, Jack Grealish sekali lagi dijangka bermula sebagai pemain simpanan dan kapten Aston Villa itu bertindak baik selepas dimasukkan sebagai pemain simpanan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 11:28 PM