TZE Yong memberi tentangan sengit di set pertama sebelum tewas 19-21. FOTO AFP
TZE Yong memberi tentangan sengit di set pertama sebelum tewas 19-21. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kempunan untuk beraksi di pentas final Terbuka Hong Kong selepas tewas kepada wakil Indonesia, sebentar tadi.

Hilang arah pada set ketiga kepada Jonatan Christie menjadi punca Tze Yong tewas di separuh akhir menerusi 21-19, 21-23 dan 21-13.

Pemain ranking ke-20 dunia itu memberi tentangan sengit di set pertama sebelum tewas 19-21 kepada Jonatan yang menghuni kedudukan keenam dunia tetapi mencetuskan kebangkitan sensasi apabila dia yang beberapa kali ketinggalan berjaya memenangi set kedua 23-21.

Namun, Tze Yong serba tidak menjadi pada set ketiga sekali gus menyaksikan dia banyak melakukan kesilapan sehingga membolehkan Jonatan suatu ketika mendahului 11-1.

Tze Yong cuba untuk bangkit tetapi kali ini ia tidak memihak kepadanya apabila akhirnya tewas 13-21 di set ketiga.

Di sebalik kekalahan itu, pencapaian melangkah ke separuh akhir kali ini adalah yang terbaik buat Tze Yong musim ini.

Kali terakhir dia mara kelompok empat terbaik dalam kejohanan Super 500 adalah pada saingan Terbuka India, tahun lalu.

Jonatan akan bertemu pemenang perlawanan antara rakan senegara, Anthony Sinisuka Ginting dengan pemain Jepun, Kenta Nishimoto bagi perebutan gelaran juara, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 8:25 PM